PUTRAJAYA, 23 Disember 2024: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui UUM Press mencipta sejarah apabila berjaya merangkul lima anugerah berprestij di Majlis Anugerah Persatuan Penerbit Institusi Pengajian Tinggi Malaysia-Kementerian Pendidikan Tinggi (MAPIM-KPT) Kali Ke-15.
Anugerah tertinggi yang diterima adalah Anugerah Makalah Jurnal Terbaik Kemanusiaan dan Sains Sosial (Indeks Kebangsaan) yang menduduki tempat pertama bagi makalah bertajuk “Is The KWAP Defined Benefit Pension Fund Sustainable in The Long Run?” hasil penulisan Wee-Yeap Lau dan Muhammad Irfan Abdul Rahman yang terbit dalam International Journal of Banking and Finance.
Selain itu, UUM turut menerima Anugerah Makalah Jurnal Terbaik, Sains, Teknologi dan Perubatan (Indeks Antarabangsa) yang menduduki tempat ketiga bagi makalah hasil penulisan Gwanghyun Jo, Seong-Yoon Shin dan Guangxing Wang bertajuk “A Novel Method for Fashion Clothing Image Classification Based on Deep Learning” yang terbit dalam Journal of Information and Communication Technology. Kedua-dua jurnal tersebut merupakan jurnal terbitan UUM Press.
Selain dua anugerah berkenaan, tiga hadiah penghargaan turut diberi kepada tiga staf UUM iaitu Anugerah Karya Suntingan Terbaik (Kemanusiaan dan Sains Sosial) kepada Prof. Madya Dr. Norruzeyati Che Mohd Nasir dari Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial bagi karya suntingan bertajuk Penyelidikan Kualitatif Prosedur, Praktis dan Aplikasi; Anugerah Penulis Prolifik Terbaik kepada Prof. Madya Dr. Irwan Shah Zainal Abidin dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan; dan Anugerah Pereka Terbaik kepada pereka dari UUM Press, Zuraizee Zulkifli.
Mantan Pengarah UUM Press, Rosma Ishak turut diraikan apabila menerima Anugerah Sanjungan Budi atas sumbangan dan jasa beliau terhadap pembangunan pusat tanggungjawab ini.
Kejayaan yang berjaya dicapai ini menjadi bukti keunggulan UUM Press dalam dunia penerbitan akademik, sekali gus mengharumkan nama universiti dalam dunia penerbitan tempatan dan antarabangsa
Majlis yang berlangsung di Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud. – Mohammad Amzari Bakri
Gambar Urus Setia Augerah MAPIM-KPT