Oleh: Noor Dalilah Mohd Yunos
Gambar: UUM Press
SINTOK – Panel yang terdiri daripada Prof. Madya Ts. Dr. Norliza Katuk, Ketua Pengarang Journal of Information and Communication Technology (JICT), serta Prof. Madya Dr. Zuryati Mohamed Yusoff, Ketua Pengarang UUM Journal of Legal Studies (UUM JLS), telah berkongsi pandangan dan pengalaman mereka dalam Forum: Cabaran Dan Strategi Penerbitan Jurnal Berindeks Scopus yang dikendalikan oleh Dr. Zamimah Osman, Editor Urusan, Jurnal RENTAS: Bahasa, Sastera dan Budaya selaku moderator.
Dr. Norliza Katuk berkata, cabaran JICT merangkumi proses penerbitan secara konvensional sebelum tahun 2010, di mana segalanya dilakukan secara manual daripada penerimaan makalah melalui pos hingga proses percetakan yang diurus sendiri di Pusat Pengajian. Namun selepas tahun 2010, dengan penubuhan Pusat Sitasi Negara, proses penerbitan menjadi lebih mudah dengan penggunaan platform Open Journal System (OJS) dengan seliaan Seksyen Jurnal, UUM Press.
Di samping itu, panel juga membincangkan cabaran dalam mengekalkan kualiti dan impak jurnal, terutamanya dalam menjaga standard kualiti dan mengekalkan kebolehcapaian dalam indeks Scopus. Perancangan dan strategi diperincikan untuk memastikan kejayaan jurnal-jurnal ini termasuk usaha untuk mendapatkan makalah yang berkualiti, menjaga kelestarian jurnal, dan menguruskan penerbitan jurnal dengan cekap.
Kebaikan dan kekangan menggunakan indeks Scopus turut dibincangkan. Manfaatnya termasuk menyumbang kepada KPI universiti dan meningkatkan ranking setiap subjek, namun, terdapat juga cabaran seperti komitmen penilai dan pengurusan penerbitan jurnal itu sendiri, jelas Dr. Zuryati Mohamed Yusoff.
Panel juga berkongsi tips dan strategi untuk menghadapi cabaran ini, termasuk melakukan latihan menulis makalah mengikut format, memelihara kualiti makalah dalam setiap terbitan dan menjalankan tugas sebagai ahli sidang pengarang secara profesional. Akhir sekali, perancangan masa depan kedua-dua jurnal ini adalah berusaha untuk mendapatkan indeks Web of Science (WoS) dan meningkatkan keterlihatan antarabangsa.
Forum yang dihadiri oleh seramai 49 orang ketua dan ahli sidang pengarang jurnal UUM itu berakhir dengan pemberian cenderamata oleh Puan Nor Arpizah Atan, Penolong Pengarah Kanan UUM Press.