UUM ONLINE: Menjelang tahun 2023 melabuhkan tirainya, Urus Setia Anugerah MAPIM-KPT Ke-14 dan Anugerah Buku Negara 2023 telah berjaya menyempurnakan majlis penghargaan kepada pengkarya berkualiti yang menyumbang dalam industri penerbitan.
Kedua-dua majlis anugerah ini telah berlangsung pada hari Jumaat 22 Disember 2023. Majlis anugerah MAPIM-KPT 14 telah berlangsung di Dewan Zaaba, Kementerian Pengajian Tinggi, Putrajaya manakala Anugerah Buku Negara berlangsung di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur
Pada majlis Anugerah MAPIM-KPT 14 melalui penerbit UUM Press, tiga Anugerah Pemenang Utama yang diterima ialah Makalah Jurnal Terbaik 2022 Indeks Antarabangsa (diterbitkan dalam MJLI Vol 18 No.1, Jan 2021), Buku Terlaris 2022 "Metodologi Penyelidikan: Panduan Menulis Tesis" dan Penerbit Prolifik Terbaik 2021 (UUM Press).
Wakil penulis makalah Jurnal iaitu Prof. Dr Rosna Awang Hashim (SOE), penulis buku Fuad Mohamed Berawi (SEFB) dan Pengarah UUM Press Puan Rosma Ishak hadir untuk menerima anugerah-anugerah tersebut.
Manakala pada majlis Anugerah Buku Negara 2023, UUM berjaya memenangi dua Anugerah Pengajian Tinggi iaitu Buku Perundangan Terbaik (Penerbit UUM Press) dan Buku Psikologi Terbaik (Penerbit Unisza)
Buku Perundangan Terbaik dimenangi melalui buku suntingan "Menyingkap Konsep Rasuah" oleh editor buku Prof. Madya Dr. Khadijah Mohamed dan Prof. Madya Dr. Yusramizza Md. Isa (SOL).
Buku Psikologi Terbaik dimenangi melalui buku "Fungsi Kekeluargaan: Ketahanan Diri dan Pengherotan Kognitif" oleh Siti Hajar Mohammad Yusoff, Yahya Don dan Muhammad Dzahir Kasa (SOE).
Majlis penganugerahan ini adalah satu usaha murni untuk mengangkat budaya penulisan berkualiti dan memartabatkan industri penerbitan pada tahap yang boleh dibanggakan sebagai satu industri ilmu yang sangat tinggi nilainya.