MERBOK: Bagi memenuhi tanggungjawab sosial universiti, UUM Press telah menyantuni 40 keluarga asnaf terpilih sempena Program Rehlah Amal bersama Masjid Al-Busyra, baru-baru ini.
Program anjuran Jawatankuasa Jaringan Komuniti (CSR) UUM Press dengan kerjasama pihak pengurusan Masjid Al-Busyra Merbok itu melibatkan golongan asnaf yang telah berdaftar dengan pihak masjid.
Selain memenuhi tanggungjawab sosial universiti, menurut Pengarah UUM Press, Rosma Ishak, ia juga bertujuan menyokong matlamat pembangunan mampan dalam menangani isu kemiskinan SDG1 dan SDG2.
Kata beliau, mana-mana organisasi atau syarikat yang telah menjana pendapatan dan keuntungan perlu menyumbang kembali kepada komuniti amnya dan golongan yang kurang berkemampuan khasnya.
Beliau memetik ayat Al-Quran Surah Al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud, “perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan bagi siapa yang Dia kehendaki, dan Allah Mahaluas, Maha Mengetahui.”
Oleh itu, Syarikat Bandar Darulaman Infra Sdn. Bhd dan staf UUM Press telah bermurah hati memberi sumbangan untuk menjayakan program ini.
Rosma turut menggalakkan anak-anak keluarga asnaf ini untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti dengan mempromosikan UUM kepada komuniti dan pengunjung masjid.
Antara perkhidmatan dan kemudahan yang diuar-uarkan oleh UUM kepada masyarakat di situ ialah Program Pembangunan Siswa Sulung, Food Bank dan PerantiSiswa.
Sementara itu, Imam Rawatib Masjid Al-Busyra, Mohd Naim Johari mewakili pengurusan masjid dan Pengarah UUM Press telah mengagihkan sebanyak 40 bakul makanan dan buku kepada 40 keluarga asnaf yang tinggal dalam kawasan kariah masjid tersebut.
Sumbangan wang tunai juga turut diberi kepada pihak pengurusan masjid bagi tujuan pembangunan masjid.
Program ini diakhiri dengan sesi bergambar dan staf UUM Press amat teruja kerana dapat berjumpa dan bergambar dengan Imam Masjid Al-Busyra, Firdaus Firabib yang juga pempengaruh yang tidak asing lagi dalam media sosial. – Noor Dalilah Mohd Yunos