UUM ONLINE: Changlun - UUM Press telah menceriakan warga Sekolah Agama At-Toyyibah dengan penganjuran Program Organisasi Komuniti dan Jelajah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) anjuran Jawatankuasa Amalan 5S UUM Press.
Antara aktiviti dijayakan ialah gotong-royong keceriaan di sekitar kawasan sekolah seperti mengecat dan membersihkan surau, perpustakaan mini dan kantin sekolah.
Dua syarikat telah memberi sumbangan kepada UUM Press bagi melaksanakan program ini iaitu Syarikat Apcel Café HQ yang menyumbang buku-buku terbitan UUM Press bernilai RM1,000 kepada pihak sekolah dan 26 pelajar Tahun 6.
Selain itu, Syarikat Mr. Grey Softserve turut berkongsi rezeki dengan menyumbang 300 aiskrim kepada semua pelajar, guru-guru dan staf sekolah serta UUM Press.
Pengarah UUM Press, Rosma Ishak turut memberi sedikit pendedahan tentang Amalan Persekitaran Berkualiti (5S/QE) kepada guru-guru sekolah berkenaan.
Menurut beliau, budaya Amalan 5S itu telah lama menjadi amalan di Universiti Utara Malaysia dan ilmu tersebut perlu dikongsi kepada pihak sekolah untuk diamalkan dan dimanfaatkan.
Katanya, penganjuran program seperti itu diharapkan dapat diteruskan dari semasa ke semasa oleh UUM Press dan tidak berhenti setakat ini sahaja.
Sementara itu, Mudir Sekolah, Ustaz Ahmad Muhtad Yusoff dalam ucapan aluan pada Majlis Penyerahan Sumbangan Buku merakamkan penghargaan kepada UUM Press yang telah memilih sekolah mereka.