UUM ONLINE: UUM Press telah menganjurkan Bengkel Penulisan Modul Pengajaran Subjek Teras dengan kerjasama Kolej Matrikulasi Perlis (KMP).
Bengkel sehari yang diadakan di Bilik Kedah di Pusat Perniagaan Pengurusan Perniagaan (SBM) yang melibatkan 33 peserta dari KMP, Kolej Matrikulasi Kedah dan Kolej Matrikulasi Pulau Pinang.
Pengarah UUM Press, Rosma Ishak berkata, bengkel itu adalah susulan hasil lawatan pihak KMP ke UUM Press pada Disember tahun lalu.
Menurutnya, pihaknya menyambut baik hasrat KMP dan berjanji untuk memberi bantuan khidmat nasihat yang diperlukan agar modul pengajaran berjaya diterbitkan.
“UUM Press juga berharap bengkel bersiri dapat diadakan pada masa depan. Dalam bengkel pertama ini, UUM Press berkongsi kepakaran dan pengalaman penerbitan modul PJJ yang pernah dilaksanakan sebelum ini.
“Sepanjang bengkel, peserta diberi pendedahan tentang gaya penulisan modul, anatomi buku, penyediaan bahan grafik serta pengurusan bahan berhak cipta,” ujarnya.
Sementara itu, Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Akademik, KMP, Mohamad Nain Jusoh menyatakan hasrat untuk mengadakan kerjasama bagi memantapkan lagi penulisan modul pengajaran yang dihasilkan oleh ahli akademik KMP.
Antara lain beliau berhasrat penerbitan usaha sama dengan UUM Press dapat menyeragamkan modul yang akan digunakan oleh pelajar-pelajar khususnya di Kolej Matrikulasi Perlis.