Buat pertama kali buku imprin UUM Press Kreatif mendapat pengiktirafan tertinggi apabila memenangi anugerah Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (HSPM) baru-baru ini.
Panel penilai HSPM telah memilih karya Sasterawan Negara (SN) Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh Sebuah Lembah Kunamakan Tanah Air terbitan UUM Press tahun 2019 bagi Kumpulan Puisi (Kategori A: Buku Sastera Dewasa) sebagai penerima HSPM 2019/2020. SN Muhammad Hj Salleh menerima hadiah wang tunai RM8,000.00 berserta sijil. Buku kedua yang dimenangi oleh UUM Press ialah Kumpulan Cerpen Kanak-Kanak (Kategori C: Buku Sastera Kanak-Kanak) bertajuk Misi Mengintip hasil karya Ab Jalil Alimon.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Datuk Yusran Shah Mohd. Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP Kuala Lumpur pada 24 November 2022. Lebih kurang 70 penulis diraikan dalam majlis tersebut yang bertujuan untuk mengiktiraf karya sastera bermutu tinggi dalam pelbagai tahap karya sastera daripada penulis kanak-kanak, remaja hingga dewasa.
Pengkategorian pelbagai genre karya sastera terbahagi kepada Kategori A Buku Sastera Dewasa, Kategori B Karya Eceran, Kategori C Buku Sastera Kanak-kanak dan Kategori D Buku Sastera Remaja. Kesemua pemenang menerima hadiah wang tunai bermula dengan serendah RM500.00 bagi Hadiah Tunas Cipta untuk kategori penulis kanak-kanak.
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran, merangkap Pengerusi Panel HSPM berkata “penulis ialah perakam zaman, anugerah hanyalah untuk mereka yang pandai mengolah bahasa yang membuatkan jiwa bergolak apabila membaca karya mereka”. Menurut beliau lagi anugerah juga menjadi suntikan semangat kepada penulis baharu untuk matangkan minda dan cabaran besar dalam dunia teknologi sekarang adalah untuk mendapatkan “keaslian” dalam berkarya.
HSPM yang pada awalnya dikenali sebagai Hadiah Karya Sastera mula dianjurkan sejak tahun 1971. Nama Hadiah Karya Sastera ditukar kepada Hadiah Sastera Malaysia sehingga tahun 1995 dan pada tahun 1996 namanya ditukarkan kepada Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) hasil atas cadangan Mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ia merupakan pengiktirafan tertinggi kerajaan Malaysia melalui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan kekal sehingga ke hari ini