UUM ONLINE: Satu judul buku terbitan Universiti Utara Malaysia (UUM) tersenarai dalam katalog “50 Best Malaysia Titles” untuk promosi jualan lesen hak cipta (copyright licensing) di Frankfurt Book Fair 2022 (FBF) yang akan berlangsung pada 19-23 Oktober ini di Pusat Dagangan Messe, Frankfurt, Jerman.
Buku terbitan UUM Press yang dipilih oleh panel Sekretariat Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), yang mengelola penyertaan delegasi Malaysia ke FBF 2022, ialah “Halal Marketing: Concept and Strategies” hasil tulisan Sany Sanuri Mohd. Mokhtar, Anam Javeed dan Muhammad Yar Khan.
Pemilihan adalah berdasarkan kepada judul yang mempunyai permintaan pasaran antarabangsa selain mengetengahkan karya penulis tempatan.
Semua buku yang terpilih akan dipamerkan di Malaysia Stand Hall 6.0 C1 dalam pesta dagangan buku terbesar dunia yang memfokus kepada aktiviti jualan lesen hak cipta untuk pengedaran dan jualan di negara asing atau terjemahan.
18 Oktober 2022