UUM ONLINE: Buku Daerah Kuala Muda: Sejarah Pusat-Pusat Pentadbiran Kota Kuala Muda & Sungai Petani 1905-1957 terbitan UUM Press telah dilancarkan sempena Majlis Pelancaran Pesta Buku Kedah 2022 di di Village Mall, Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.
Pelancaran buku tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni & Budaya, Belia & Sukan dan Pembangunan Usahawan & Koperasi, Mohd Firdaus Ahmad.
Buku hasil penulisan Dr. K. Nadaraja ini mengetengahkan beberapa peristiwa penting yang telah membentuk sejarah Daerah Kuala Muda dalam tempoh 50 tahun pertama, sejak pengenalan sistem pentadbiran moden Kedah pada 1905 sehingga kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957.
Sementara itu, Penolong Pengarah UUM Press yang mewakili Pengarah di majlis berkenaan, Umisofian Md Yusuf berkata, pelancaran buku itu adalah bertepatan dengan Pesta Buku Kedah 2022 bagi memperkenalkan sejarah Daerah Kuala Muda kepada khalayak umum.
Pesta Buku Kedah 2022 anjuran Kerajaan Negeri Kedah dan Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah berlangsung dari 22 – 28 September 2022 turut di sertai lebih 50 pempamer daripada seluruh negara bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam dengan menawarkan pelbagai genre buku.