UUM ONLINE: 10 September 2022. Klinik Perundingan Penerbitan anjuran UUM Press yang mula diadakan pada Jun 2022 telah menerima 13 peserta dari pelbagai pusat pengajian dalam Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berminat untuk menerbitkan karya mereka bersama penerbit universiti.
Program yang diadakan setiap bulan ini memberi penerangan kepada peserta tentang peluang penerbitan yang disediakan oleh UUM Press, prosedur penerbitan, kategori buku yang diterbitkan dan lain-lain lagi.
Selain itu, peserta yang mempunyai deraf ataupun manuskrip yang ingin diterbitkan akan diberikan bimbingan oleh editor berpengalaman di UUM Press yang sekali gus membantu merancakkan lagi penerbitan ilmiah seiring dengan aspirasi universiti ke arah memartabatkan penerbitan ilmiah di universiti ini.
UUM Press menyasarkan lima hingga 10 manuskrip akan diterima daripada penulis untuk diterbitkan apabila manuskrip masing-masing dimurnikan selepas tamat sesi perundingan.
Pengarah UUM Press, Prof. Madya Dr. Hamidi Ismail, berharap staf akademik UUM yang berhasrat untuk menerbitkan karya mereka menggunakan imprin UUM Press dapat menjadikan platform ini sebagai salah satu alternatif bagi memperoleh input dalam penerbitan ilmiah universiti.