Pada 11 Jun 2022 telah berlangsung Bicara Buku ‘Gunung Tambuyukon: Kembara Umpama Menganyam Kelarai’ di reruai Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM), ruang Republika Merah.
Bicara buku ini dihadiri oleh dua daripada lima orang penulisnya iaitu Nurzaliza Haji Ghazali dan Mohd Raime Ramlan. Mereka berdua merupakan ahli akademik di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Gunung Tambuyukon terletak di Sabah. Bagi penulis-penulis ini, gunung ini adalah yang paling susah pendakiannya berbanding Gunung Kinabalu, Gunung Trus Madi dan sebagainya.
Buku ini bukan menceritakan sebuah pendakian yang biasa. Banyak peristiwa yang berlaku sepanjang pendakian ini yang dapat menginsafkan mereka. Antaranya ialah dapat mengetahui tentang keperitan ‘komuniti pacat’. Jadi terdapat tips yang dikongsikan didalam buku ini untuk mengelakkan dan bersahabat dengan pacat.
Menurut Mohd Raime, mereka bukukan travelog ini kerana buku akan kekal releven sampai bila-bila. Tidak seperti sosial media yang ada pada masa kini, mungkin akan hilang suatu hari nanti.
Selain itu, Nurzaliza berkata tujuan mereka bukukan travelog ini kerana visi, misi serta impian mereka agar rakan-rakan pendaki dapat menjadi satu komuniti yang disegani dan memperjuangkan semangat kenegaraan.
Mereka yang baru beberapa bulan lepas pulang daripada ‘Everest Base Camp’ berkata mungkin buku seterusnya adalah tentang ‘Everest Base Camp’.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang buku Gunung Tambuyukon, anda boleh dapatkannya di laman sesawang UUM Press ataupun di ke semua platform rasmi atas talian UUM Press.