Hari terakhir Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 (PBAKL), UUM Press telah mengadakan resensi buku bersama penulis-penulis ‘Tragedi Dah Mahsuri’ yang berlangsung di Pentas Utama, Pusat Dagangan Putra Kuala Lumpur (WTCKL).
Resensi buku ini dihadiri oleh ketiga-tiga penulisnya iaitu Dr. Amir Juhari, Dr. Noor Zila Md. Yusuf serta Puan Hajah Umisofian Md. Yusuf.
Dr. Amir dan Dr. Noor Zila merupakan pensyarah di Institut Pendidikan Guru Darulaman. Manakala Puan Hajah Umisofian merupakan penolong pendaftar kanan di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Selain daripada lagenda Mahsuri yang kita ketahui, Dah Mahsuri ini merujuk kepada kluster Covid-19 yang diambil bersempena dengan nama taman perumahan mereka iaitu Taman Mahsuri, Jitra, Kedah.
Dalam buku ini tersimpan satu rahsia, mengapa menjadi hadiah yang teristimewa buat mereka. Kluster ini muncul ketika semua umat Islam sedang mengejar malam lailatulqadar.
Menurut Dr. Noor Zila, tujuan buku ini dihasilkan untuk mengubah persepsi masyarakat bahawa ujian yang diturunkan ini bukan satu musibah tetapi satu hadiah kepada manusia atau hamba untuk menyedarkan kita.
Dr. Amir berkata, ilham untuk menerbitkan buku ini kerana mereka sendiri yang mengalaminya. Mereka ingin berkongsi pengalaman mereka. Ia juga akan berguna kepada generasi akan datang.
Penulisan buku ini dibahagikan mengikut kesesuaian seperti Dr. Amir dan Dr. Noor Zila di hospital, jadi mereka menulis berkaitan dengan itu. Manakala Puan Hajah Umisofian berada di rumah, jadi beliau menulis tentang jiran-jiran dan sebagainya. ujur Puan Hajah Umisofian.
Buku Tragedi Dah Mahsuri ini bukan sekadar berkongsi pengalaman mereka dijangkiti Covid-19, malah banyak pengajaran dan nilai yang dikongsikan bersama.