11 Jun 2022
Semalam telah berlangsung sesi bicara buku bersama penulis Cerpen Tiga Dekad Mengintai Bulan iaitu Samiron Bin Rahmat atau nama penanya Nurimas SN. Sesi ini berlangsung di ruang Republika Merah di reruai Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM).
Nurimas SN adalah anak kelahiran Johor. Beliau merupakan seorang mantan guru kaunselor yang telah berkhidmat selama 30 tahun serta bekas wartawan sambilan Sinar Harian.
Pelbagai jenis penulisan telah beliau hasilkan antaranya cerpen, sajak, novel dan rencana. Beliau juga telah merangkul pelbagai anugerah seperti johan dalam Sayembara Menulis Puisi 2019 Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Menurut Nurimas SN, makna disebalik tajuk cerpen ini adalah satu perjalanan panjang seseorang untuk mengenali si dia kemudian bertemu kembali selepas tiga dekad. Cerpen ini mengandungi empat tema.
Tiga Dekad Mengintai Bulan bukan sekadar satu momen romantika, ia lebih kepada estetika, realistik dan juga politik.
Cerpen ini merupakan satu gagasan yang membina unsur pemikiran, ujurnya lagi. Beliau turut berkongsi beberapa tips yang sangat berguna.