8 JUN 2022 / 8 ZULKAEDAH 1443H
============================
Oleh: Nordiana Shafiee
Gambar oleh: Abdul Halim Husain
HASILKAN BUKU TEPATI KEHENDAK MASYARAKAT
UUM ONLINE: Kuala Lumpur - Kita tidak dapat mengetepikan hakikat bahawa penulisan ahli akademik menjadi tunjang kepada kecemerlangan dunia akademik ilmiah.
Bagaimanapun, buku yang dihasilkan kini perlu menepati kehendak dan keperluan masyarakat yang semakin cakna dengan perkembangan universiti.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Senator Dato’ Dr. Ahmad Masrizal Muhammad berkata, Malaysia mempunyai 20 institusi pengajian awam (IPTA) dan ratusan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dengan ribuan profesor dan ahli akademik yang memiliki pemikiran bagus serta semangat kuat untuk berkongsi idea dengan masyarakat.
Jadi, satu kerugian jika negara mempunyai bilangan universiti yang banyak dengan jumlah pensyarah yang ramai tetapi hasil penulisan tidak mampu menjadi perkara penting sebagai sandaran untuk lakukan perubahan.
Menurutnya, buku ‘Establishing Competitive University: A Strategic Management Perspective’ karya Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah dan Dr. Ahmed Abubakar ini mengungkap banyak perihal yang begitu menarik dan membuka minda tentang strategi menubuhkan universiti unggul.
“Buku ini menyediakan pengetahuan yang diperlukan kepada mana-mana universiti kerana masyarakat sekarang sudah cakna dengan universiti. Apabila ibu bapa hendak menghantar anak-anak ke universiti, mereka akan melihat ranking universiti terlebih dahulu, tidak seperti dahulu dengan jumlah universiti tidak banyak untuk dibandingkan.
“Penerbitan buku ini adalah tepat pada masanya kerana ia memberi gambaran dan mentakrifkan kecenderungan universiti untuk berdaya saing dan kecemerlangan prestasi, penentu strategik untuk daya saing universiti, teori asas, model strategik dan pendekatan untuk mencapai daya saing universiti yang cemerlang,” katanya pada Majlis Pelancaran Buku ‘Establishing Competitive University: A Strategic Management Perspective’ sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), semalam.
Ahmad Masrizal berkata, buku tersebut mengandungi elemen penting untuk menubuhkan sebuah universiti yang boleh bersaing, sekali gus mampu berada dalam carta tinggi dalam kalangan universiti-universiti antarabangsa.
Bagaimanapun, katanya, setiap buku yang dihasilkan mesti tidak dibuat dengan sia-sia, justeru pastikan ada pihak yang membaca agar kandungan buku yang dihasilkan dapat dijadikan sebagai garis panduan kerana bukan mudah untuk membina IPT seperti membuka gerai-gerai di jalanan jika tiada asasnya.
Beliau turut menyeru agar rakyat mencabar diri untuk suka membaca, selain memberi sambutan kepada buku-buku bercorak sebegini.
Sementara itu, Haim Hilman berkata, buku terbitan UUM Press itu adalah satu usaha untuk memberi garis panduan strategik tentang daya saing universiti yang berguna kepada pihak berkepentingan dalam menubuhkan sebuah universiti unggul dan pada masa sama memanifestasikan ilmu, mana mungkin negara akan maju jika sesebuah universiti itu terus kekal lesu jika tidak dipersiapkan anak didik yang akan menjadi kekuatan dan pembela negara bangsa dalam menghadapi cabaran masa depan.
“Kita kena persiapkan diri. Saya tidak mahu anak didik tercicir atau gagal menggapai impian peribadi.
“UUM ingin menjadi sebahagian cerita sedang digarap di seluruh negara untuk menghasilkan anak didik yang menjadi pemimpin masa depan. Malah, kita tulis dan ukir segalanya di dalam buku ini kerana UUM ingin menjadi sebahagian kisah ketamadunan kebangkitan negara bangsa bernama Malaysia,” katanya.
Tambah Haim Hilman, beliau juga yakin Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di bawah kepimpinan Menteri dan Timbalan Menteri akan terus berusaha memastikan pendidikan tinggi terus kukuh dan utuh dalam melahirkan insan-insan harapan negara dan bangsa.
Pada masa sama, beliau berharap rakyat Malaysia dapat menyuburkan budaya membaca dan UUM juga tidak terkecuali, bagi memastikan institusi ini akan tetap teguh berdiri untuk mengangkat agenda negara.
Buku ‘Establishing Competitive University: A Strategic Management Perspective’ merupakan sebuah buku panduan yang menyediakan institusi-institusi pendidikan tinggi terutamanya para pentadbir universiti dengan ilmu pengetahuan yang mereka perlukan untuk menubuhkan sesebuah universiti bertaraf perdana.
Buku ini mengandungi tiga bahagian, iaitu: universiti berdaya saing dan prestasi kecemerlangan; faktor-faktor strategik untuk keberdayasaingan universiti; dan teori-teori, model strategik, dan teknik-teknik untuk keberdayasaingan universiti.