UUM ONLINE 9 APRIL 2021: Kuala Lumpur - Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya merangkul tiga anugerah pada Anugerah Buku Negara dan Anugerah Telenovela 2020/2021 bersempena Kuala Lumpur World Book Capital (KLWBC) UNESCO anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara, semalam.
Tiga anugerah tersebut adalah bagi kategori Buku Mewah Terbaik berjudul 'Putera Raja Di Bumi Sintok' oleh Prof. Dato’ Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani, Dr. Mohd. Kasri Saidon dan Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad; kategori Buku Umum Terbaik (Bukan Fiksyen) berjudul 'Diet Ahli Sufi' oleh Dr. Rosnaaini Hamid dan Editor Terbaik bagi karya berjudul ‘Membongkar Serangan Orientalisme’ oleh Farah Mat Din.
Hadiah telah disampaikan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Seri Dr. Noraini Ahmad kepada Dr. Mohd. Kasri Saidon dan Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad yang turut mewakili Naib Canselor, Prof. Dato' Dr. Ahmad Bashawir dan Dr. Rosnaaini serta Mohammad Amzari Bakri mewakili Farah Mat Din di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Prof. Dr. Ram Al Jaffri berkata, beliau bersyukur kerana pada tahun ini buku terbitan UUM Press telah dinobatkan dengan tiga anugerah tersebut dan ia adalah satu penghargaan kepada penerbit.
Menurutnya, ini juga membuktikan kualiti penerbitan UUM adalah setanding dengan penerbit lain dan berharap menjadi satu motivasi serta memberi semangat kepada ahli akademik di UUM supaya dapat menerbitkan penerbitan berkualiti dan menghantar manuskrip yang berkualiti untuk diterbitkan penerbit UUM.
"In sha Allah, penerbit UUM akan sentiasa membantu dari semasa ke semasa dan mengangkat karya-karya dihasilkan pensyarah UUM untuk sekurang-kurangnya memenangi anugerah di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa," katanya yang merupakan Pengarah UUM Press.
Sementara itu, Dr. Mohd. Kasri berkata, beliau tidak sangka akan menerima anugerah itu tetapi ia adalah satu penghargaan dan merupakan satu kepuasan kepadanya sebagai penulis sejarah.
Tambahnya, buku 'Putera Raja Di Bumi Sintok' itu menggarap kembali tentang kisah hidup Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah dan penglibatan serta minat Baginda dalam bidang keselamatan.
"Saya bersyukur kerana diberi peluang oleh pihak universiti dan istana sendiri untuk menemubual Tuanku Sultan, malah Baginda juga telah memberikan idea dan cadangan untuk menulis buku ini yang disiapkan dalam tempoh beberapa bulan sahaja.
"Bagaimanapun, ia tetap mencabar kerana kami perlu mendapatkan informasi, responden dan bahan-bahan untuk dituliskan kembali. Pasukan penulis buku ini perlu membat penjejakan bagi mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber dan sebagai penulis, dapat menghasilkan buku in adalah sesuatu yang memuaskan hati," kata Pengarah Muzium Pengurusan UUM itu yang merancang untuk menghasilkan lebih banyak kisah hidup tokoh berjasa di negeri Kedah ini.
Manakala Naib Canselor ketika dihubungi berkata, beliau bersyukur kerana buku ‘Putera Putera Raja Di Sintok’ dipilih untuk memenangi Anugerah Buku Negara 2020/2021.
Menurutnya, menghasilkan buku tersebut adalah satu pengalaman yang menyeronokkan dan sangat bermakna kerana ia mengisahkan tentang kehidupan Tuanku Sultan Kedah yang juga merupakan Canselor UUM.
“Saya berharap lebih banyak buku-buku sebegini akan diterbitkan untuk bacaan umum yang mungkin ingin mengetahui lebih lanjut tentang kehidupan tokoh-tokoh berjasa ini,” katanya.
Dalam ucapan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Seri Dr. Noraini berkata, penulis dan penerbit hendaklah berani menongkah cabaran, berani menampilkan idea-idea yang kreatif dan inovatif, demi mencapai kejayaan gemilang dalam arena industri ini.
Menurutnya, pandemik Covid-19 telah mengalih rutin hidup konvensional kepada rutin hidup yang baharu apabila kini ramai yang mula menunjukkan bakat dalam bidang kraftangan, meluangkan lebih banyak masa membaca buku, tidak berkesudahan menonton drama bersiri dan filem, menyaksikan konsert di platform digital dan membeli-belah secara dalam talian demi tidak ketinggalan dengan fesyen terkini.
Dalam kata lain, beliau berkata, usaha untuk memperkasakan industri kreatif dan industri buku di negara ini perlulah seiring agar hasrat untuk membina masyarakat Malaysia yang bertamadun dan berdaya saing menerusi budaya berkongsi pengetahuan, menulis dan membaca dapat menjadi kenyataan.
"Kerajaan sentiasa menyokong usaha semua pihak dalam memartabatkan industri penulisan kreatif dan buku di negara kita. Penganjuran sesi wacana serta pengiktirafan para penggiat industri penulisan kreatif dan buku menerusi Anugerah Buku Negara serta Anugerah Telenovela seperti hari ini adalah sangat signifikan dalam memperkasakan minda masyarakat dan meningkatkan mutu modal insan, terutamanya bagi menghasilkan lebih banyak produk ekonomi industri penulisan kreatif dan buku yang mampu bersaing di peringkat global.
"Saya berharap agar penganjuran program-program seumpama hari ini dapat diteruskan pelaksanaannya dengan sokongan padu daripada semua pihak, baik agensi kerajaan mahu pun swasta dan korporat," katanya.
Turut merangkul Anugerah Buku Negara 2020/2021 ialah pensyarah UUM, Prof. Madya Dr. Bakri Mat menerusi kategori Buku Umum Terbaik (Bukan Fiksyen) bertajuk 'Dasar Sekuriti Makanan dan Keselamatan Insan di Malaysia' terbitan Penerbit UKM dan Prof. Madya Dr. Ummu Atiyah Ahmad Zakuan untuk kategori Buku Sains Politik Terbaik bertajuk 'Women in the House: Leadership in the Malaysian Parliament' terbitan IIUM Press.
Oleh: Nordiana Shafiee
Gambar oleh: Shamsaimi Ezil