UUM ONLINE 4 APRIL 2021: Alor Setar - "Kebolehan menulis naskhah yang hebat bukan kemampuan kita tetapi Allah jadikan kita sebagai perantara untuk menyampaikan ilmunya.
"Kita tidak mempunyai apa-apa melainkan hanya kesempatan, justeru gunakan kesempatan yang ada untuk memberi manfaat kebaikan kepada agama, bangsa dan negara," kata Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah yang mewakili Naib Canselor pada Majlis Apresiasi UUM Press di Raia Hotel, baru-baru ini.
Beliau menyifatkan majlis ini suatu majlis yang besar maknanya untuk sama-sama menzahirkan rasa syukur pada Allah yang memberi peluang untuk melakukan pelaburan akhirat.
Menurutnya, dalam kesibukan dan kesuntukan masa, Allah beri peluang untuk menulis dan tulisan tersebut akan dirujuk berkali-kali oleh ramai orang.
Sehubungan itu, katanya, menulislah dengan hati dan penuh kejujuran agar tulisan ini akan dibaca oleh ramai orang, tersebar di seluruh penjuru dunia dan pastinya pahala mencurah-curah.
“Setiap kali kita membaca jurnal, kajian, mahupun buku betapa kerdilnya kita untuk faham luasnya ilmu Allah dan terasa hebatnya sahabat kita menulis sehingga mampu mengupas isu dengan mendalam.
"Tahniah saya ucapkan kepada UUM Press di atas penganjuran majlis yang dianjurkan mengikut prosedur operasi standard ketika kita masih berdepan dengan pandemik Covid-19, bagaimana pun sumbangan dicurahkan warga UUM Press tetap dihargai yang berperanan dalam memajukan aktiviti penerbitan di UUM," katanya.
Sementara itu Pengarah UUM Press, Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad berkata, penerbitan menjadi agenda yang sangat penting kepada universiti dan negara. Usaha ini memerlukan komitmen yang tinggi terutamanya di kalangan profesor yang tekun membaca manuskrip dan menilai dengan penuh professional.
Menurutnya, beliau berterima kasih kepada profesor yang banyak membantu UUM Press misalnya dalam Jawatankuasa Penerbitan Universiti, menjadi Ketua Editor dan Jawatankuasa Saringan.
"Begitu juga penulis yang tidak pernah berputus asa sekalipun manuskrip ditolak berkali-kali, namun mereka terus menghantar walaupun mengambil masa yang agak lama. Ini kerana proses penerbitan didorong oleh pelbagai faktor namun sekiranya kerjasama dimantapkan lagi akan dapat mempercepatkan proses penerbitan.
“Dengan kekuatan 45 staf yang menjadi tulang belakang UUM Press, saya tidak mampu melakukan semua ini tanpa sokongan mereka. Anda adiwira UUM!," katanya.
Pada majlis itu seramai 75 penerima diraikan bagi pelbagai kategori seperti Anugerah Buku Terlaris / Royalti Tertinggi, Anugerah penulis buku terbanyak UUM Press, Anugerah Pilihan Editor, Anugerah Jurnal Harapan, Anugerah pusat pengajian paling banyak terbitan bersama dengan UUM Press dan Anugerah kepada staf UUM Press
Oleh: Siti Fatimah Abdullah
Gambar oleh: Abdul Halim Husain