UUM ONLINE, 30 November 2020: Buku Kumpulan Cerpen Kanak-kanak: Umi, Maafkan Adik terbitan UUM Press telah menerima Anugerah Buku Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) 2020 bagi Kategori Buku Kanak-kanak Bahasa Melayu.
Kejayaan ini membolehkan UUM Press menerima wang tunai sebanyak RM3,500, manakala penulis, Wadiassofi Jaafar menerima RM3,500 di samping trofi dan sijil.
Anugerah PNM 2020 disertai 364 penyertaan daripada penerbit Malaysia dan penulis bagi tiga kategori iaitu Anugerah Buku PNM 2020: Buku Kanak-kanak; Buku Dewasa dan Buku Pilihan Pembaca. Setiap kategori terbuka kepada buku Bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil.
Sebanyak 11 judul buku merangkumi 22 pemenang terdiri daripada penulis dan penerbit telah diangkat sebagai pemenang pada Anugerah Buku Perpustakaan Negara Malaysia 2020 ini.
Penilaian buku bagi anugerah adalah berdasarkan tiga ciri utama iaitu kandungan buku, persembahan buku dan kualiti pembaca.
Kandungan buku meliputi aspek integriti buku, keseimbangan estetika bahasa, keterbacaan cerita, inovasi dalam kategori serta nilai yang dibawa turut menilai organisasi buku.
Persembahan bahasa, visual serta keseluruhan buku mengambil kira kualiti persembahan buku, penyuntingan, produksi, topografi, reproduksi, percetakan, reka letak, format kulit buku dan keterangan buku.
Anugerah yang berlangsung secara maya pagi tadi telah dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Nancy Shukri dan hadiah disampaikan Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Maizan Ismail.