Buku "Membongkar Serangan Orientalisme" hasil penulisan tiga penulis iaitu Ahmad Yumni Abu Bakar (UiTM), Mohd Fairuz Jamaluddin (Kolej Poly-Tech MARA) dan Mardzelah Makhsin (UUM) telah dilancarkan oleh Dr. Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia di Goethe University (GU), Frankfurt, Jerman. Buku tersebut dilancarkan bersama-sama 12 buku lain yang diterbitkan oleh ahli Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM).
Buku terbitan UUM Press itu membicarakan tentang dakwaan dan hujah orientalis terhadap Islam dari pelbagai dimensi. Antaranya pelbagai sudut serangan dilakukan oleh orientalis Barat terhadap al-Quran dan kisah yang terdapat di dalamnya, mempertikaikan hadis nabi serta juga tohmahan terhadap peribadi Nabi SAW. Pandangan orientalis dan liberalis terhadap isu Lesbian, Gay, Biseksual & Transgender (LGBT) yang akhir-akhir ini menjadi trend kepada masyarakat dunia turut diperincikan dan dikupas secara ilmiah.
Selain itu, perbincangan mengenai pengaruh orientalis terhadap dunia al-Quran sehingga mentafsirkan al-Quran mengikut acuan metodologi Barat yang dipanggil hermeneutika turut diselitkan. Buku ini dapat mendedahkan pengaruh orientalis ke atas dunia Islam sehingga lahirlah golongan Islam liberal dan anti hadis yang berkiblatkan Barat. Justeru itu, pendekatan yang digunakan dalam buku ini adalah amat sesuai kepada masyarakat umum kerana segala keraguan dan persoalan yang ditimbulkan oleh orientalis serta pengikutnya terhadap Islam telah dijawab berdasarkan pandangan cendekiawan Islam.
Buku ini boleh didapati dari UUM Press Bookstore, UUM Press Online Bookstore, Lazada, dan Shopee pada harga RM40.00.