All News

UUM Press Gondol Tempat Ketiga dalam Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Terbuka UUM 2019

 

Kumpulan PRECIOUS UUM Press diberi tanggungjawab oleh Pengarah, Prof. Madya Dr. Ram Al Jaffri Saad untuk membuktikan kemampuan bersaing dalam Konvensyen KIK tahun ini. Pengerusi KIK UUM Press, Zurina Yahya merupakan individu penting yang bertindak sebagai penggerak kepada kumpulan ini manakala Ahmad Ruzaini Janudin pula selaku Fasilitator KIK UUM Press merupakan jurupandu kepada ahli kumpulan dalam melaksanakan projek kali ini.

PRECIOUS ditubuhkan pada 13 Januari 2019 dan bersesuaian dengan nama kumpulan ini, semua ahli bertanggungjawab dalam menghasilkan projek yang bermutu tinggi dan bernilai kepada jabatan. Kumpulan berjaya menghasilkan inovasi penambahbaikan proses di peringkat saringan penerimaan manuskrip. Inovasi ini merupakan penambahbaikan kepada borang penilaian manuskrip di peringkat UUM Press sebelum dibincangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Saringan. Borang ini dinamakan Rubrik Penilaian Manuskrip. Borang ini lebih seragam, teratur dan berfokus. Mempunyai garis panduan untuk menilai dan penilaian lebih cepat dan mudah. Borang ini juga mempunyai sistem pemarkahan dan memudahkan keputusan dibuat sama ada untuk menerima atau menolak manuskrip berpandukan kepada keputusan plagiarisme yang tidak melebihi 25 peratus. Kumpulan berjaya mengurangkan masa dan kos untuk projek ini. Secara tidak langsung, proses penambahbaikan ini memberi kesan positif kepada proses sedia ada.

Kumpulan PRECIOUS merupakan kumpulan kedua membentangkan projek KIK dan mendapat pujian daripada para juri kerana berjaya menggunakan tools yang terdapat dalam hukum KIK. Pujian dan cadangan penambahbaikan yang diberi oleh juri secara tidak langsung menaikkan lagi semangat untuk bersaing dengan tujuh lagi kumpulan lain yang terdiri daripada organisasi luar dan dalam UUM. Rata-rata kumpulan yang membentangkan projek KIK organisasi yang diwakili menunjukkan inovasi dan kreativiti pada tahap yang mengagumkan. Adat dalam pertandingan, ada menang dan ada tewas, kesemua kumpulan berjaya dan berani menyahut seruan organisasi/universiti untuk melaksanakan projek KIK pada tahun ini. Tahniah kepada pemenang dan semua kumpulan yang menyertai Konvensyen KIK pada tahun ini.