UUM ONLINE 7 April 2019: Kuala Lumpur - "Apabila menghalusi setiap sajak di dalam kumpulan ini akan mendekatkan kita kepada pelbagai kerangka pemikiran negarawan yang kental peribadinya," kata Timbalan Menteri Luar, Dato' Marzuki Yahya pada Majlis Pelancaran Buku Kumpulan Puisi 'Mahathir, Kami Bersamamu' di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Menurutnya, pembaca dibawa masuk ke dalam inti pati fikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, semangat yang dipancarkan, teladan yang baik dibangunkan dalam karya itu yang mana ideanya dianyam dengan rapi oleh penyajak.
Katanya, Tun Dr. Mahathir juga telah ditampilkan sebagai teknokrat berani, malah digambarkan juga perjuangannya tidak diraih dengan mudah dalam sekelip mata, sebaliknya banyak onak dan ranjau yang diharungi beliau.
"Dengan 40 sajak ini, sudah tentu mustahil untuk menggambarkan sumbangan dan jasa Perdana Menteri kini yang sangat besar kepada negara.
"Selain idea, penyajak telah menekankan pentingnya kesan keindahan seni dengan turut menampilkan aspek estetik sebagai cipta sastera yang tinggi kerana lazimnya sajak tentang tokoh menfokuskan karya kepada idea tetapi melalui hasil karya dalam kumpulan sajak ini, kesenian sastera yang tinggi dapat dirasai pembaca," katanya pada hari terakhir Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2019.
Buku kumpulan puisi setebal 87 muka surat hasil karya Lim Swee Tin itu menghimpunkan 40 sajak yang digarap dalam tempoh 20 tahun membabitkan pengisian sumbangan dan jasa Tun Dr. Mahathir kepada negara dan rakyat.
Beliau berkata, penerbitan buku puisi itu adalah satu upaya yang besar oleh UUM Press dalam mengangkat dan menyemarakkan karya kreatif sasterawan yang menjadi rujukan dan rekod penting kesenian puisi dan peradaban bangsa.
Menurutnya, inisiatif penerbit juga dapat menyumbang kepada pengukuhan gerakan merangka Dasar Sastera Kebangsaan supaya sastera tidak dipandang sepi dan dipinggirkan masyarakat, malah sewajarnya dipertahankan.
Katanya, beliau berharap pimpinan tertinggi universiti selain memberi fokus kepada bidang keilmuan baharu, tidak akan mengabaikan segala bentuk rekod dan rakaman pencapaian tokoh dalam bentuk buku ilmiah atau karya kreatif demi mengekalkan dokumen bersejarah itu supaya dapat dihayati dan dihargai anak bangsa.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah UUM, Prof. Dato' Dr. Sudin Haron berkata, UUM amat menggalakkan penerbitan buku tentang tokoh-tokoh yang berjasa kepada negara dalam pelbagai genre sama ada dalam bentuk penulisan ilmiah, semi-ilmiah atau penulisan kreatif.
"UUM juga mengalukan sumbangan manuskrip atau karya terbaik dan bermutu untuk diterbitkan UUM Press, malah penulis ilmiah dalam pelbagai bidang juga sentiasa diberi ruang untuk menambah khazanah peradaban bangsa melalui penerbitan hasil daripada kajian dan pengalaman pengajaran sebagai rujukan masa hadapan.
"Penerbitan buku kumpulan puisi ini juga diharap akan dibaca semua peringkat umur rakyat Malaysia dan dihayati dalam bait-bait puisi tentang susur galur perjuangan Tun Dr. Mahathir yang memiliki kecekalan dan kegigihan luar biasa dalam menyatupadukan segenap lapisan masyarakat," katanya.
Katanya lagi, adalah menjadi harapan agar buku tersebut menjadi sumber dokumentasi penting yang merekodkan sejarah seorang yang bernama 'Mahathir' dan ditakdirkan menjadi Perdana Menteri Malaysia buat kali kedua.
Buku Kumpulan Puisi 'Mahathir, Kami Bersamamu' itu diterbitkan UUM Press dan dijual dengan harga RM55 setiap naskhah.