UUM Press Online 3 April 2018: Hasil karya ke-55 Sasterawan Negara Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh, bertajuk “Sebuah Lembah Kunamakan Tanah Air” telah dilancarkan oleh Sasterawan Negara Dato' Dr Zurinah Hassan di Pentas Utama, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019, PWTC, Kuala Lumpur kelmarin.
Buku yang mengandungi 155 buah puisi ini menampilkan puisi yang belum disiarkan dalam media cetak sejak tahun 1990-an hingga ke tahun 2018 yang telah dibukukan dan diterbitkan oleh UUM Press.
Majlis resensi buku berlangsung selepas majlis pelancaran bagi mengupas idea dan pemikiran yang ingin disampaikan oleh penulis buku. Resensi tersebut dipengerusikan oleh Mohamad Puzi A. Hadi, Ketua Satu ASASI Kedah sebagai moderator yang memulakan majlis dengan mendeklamasikan puisi "Anak Semenanjung" (2014).
Resensi tersebut turut menampilkan Sasterawan Negara Dato’ Dr. Zurinah Hassan dan Saadin Abdullah, Ketua Dua ASASI Kedah sebagai ahli panel yang masing-masing turut mendeklamasikan puisi “Makan” dan “Bahasa” daripada buku tersebut yang mendapat sambutan daripada hadirin yang hadir.
Buku terbitan UUM Press ini boleh didapati di reruai UUM Press dan Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) di PBAKL 2019 yang sedang berlangsung dari 29 Mac hingga 7 April 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.