All News

Resensi Buku Tanyalah Kaunselor: Himpunan Isu Kekeluargaan dan Masyarakat

 

UUM PRESS ONLINE 1 April 2019: Program Resensi Buku yang membicarakan buku “Tanyalah Kaunselor: Himpunan Isu Kekeluargaan dan Masyarakat ” telah berlangsung di Pentas Utama, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2019.

Seruan “Tanyalah Kaunselor: Himpunan Isu Kekeluargaan dan Masyarakat” adalah panggilan khusus kepada semua yang berkeluarga dan mereka yang berada dalam masyarakat untuk tampil berkongsi isu dan masalah yang melanda diri mereka serta keluarga mereka.

Menampilkan Profesor dari Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial, Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Noor Azniza Ishak dan Dr. Siti Rozina Kamsani sebagai moderator mengupas isu tentang kekeluargaan dan masyarakat dalam program yang dianjurkan sempena PBAKL 2019.

Perkongsian yang bijak dan bermanfaat ini akan dapat membuka minda kita agar dapat melakarkan jalan penyelesaian yang terbaik untuk semua pihak. Apabila manusia dilanda masalah, mereka sering kali buntu dan gagal berfikir secara rasional dalam mencari jalan keluar bagi isu yang mereka hadapi. Kegagalan ini boleh membawa kepada perpecahan, perpisahan, pergaduhan, perceraian serta sakit hati yang berpanjangan.

Hasil daripada komunikasi yang bijaksana dan terkawal pastinya dapat membuka minda setiap orang serta mencari penyelesaian yang terbaik serta harmoni untuk semua pihak. Dalam resensi itu turut mengupas tentang isu suami isteri, kekeluargaan dan masyarakat.

Walaupun resolusi ini bukanlah satu cara yang mutlak tetapi saranan kaunselor ini dapat difikirkan dan ditimbangkan kewajarannya dalam meneroka penyelesaian yang lebih bijaksana.

Buku terbitan UUM Press ini boleh didapati di reruai UUM Press dan Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) di PBAKL 2019 yang sedang berlangsung dari 29 Mac hingga 7 April 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.