UUM PRESS ONLINE 31 MAC 2019 : Kehadiran Imuda dan Sathiya yang memegang watak “Budin” dan “Ravi” telah mengembalikan nostalgia penonton yang hadir dalam Majlis Resensi buku “Menulis Sitcom: Mencontohi Pi Mai Pi Mai Tang Tu”. Kedua-dua pelakon berkenaan antara pemegang teraju utama sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang merupakan program televisyen yang bertahan paling lama di kaca tv.
Drama sitkom yang bermula dari tahun 1985 dan berakhir pada 2004 dengan 500 episod itu merupakan hasil ciptaan Prof. Dr. Hatta Azad Khan. Sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu juga menjadi sejarah dalam dunia penyiaran di Malaysia apabila menjadi program televisyen yang bertahan paling lama.
Melalui resensi buku ini, penonton telah ditunjukkan bagaimana hasil penulisan skrip dilakonkan berdasarkan penulisan yang telah dihasilkan oleh penulis buku iaitu Prof. Dr. Hatta Azad Khan yang juga merupakan tulang belakang kepada penghasilan drama sitkom berkenaan.
Buku “Menulis Sitcom: Mencontohi Pi Mai Pi Mai Tang Tu” ini ditulis khusus bagi memberikan serba sedikit gambaran bagaimana idea sebuah drama komedi yang asalnya dipentaskan sebagai sebuah produksi teater, boleh dikembangkan menjadi siri televisyen yang diminati ramai.
Buku ini turut dilengkapi contoh skrip dan cara menyediakan kertas kerja cadangan untuk dihantar kepada penerbit atau stesen televisyen. Kaedah menulis sitkom dimulai dengan mengenali sejarah luar dan dalam negara, mengkaji kelainan sitkom berbanding genre lain, mengenali struktur dan elemen, mencipta watak dan seterusnya memilih tajuk yang sesuai.
Buku setebal 148 halaman terbitan UUM Press ini boleh dijadikan panduan yang sangat sesuai dan berguna oleh tenaga pengajar serta pelajar yang mengambil jurusan penulisan skrip di pusat pengajian tinggi atau sesiapa saja yang mempunyai minat dalam penulisan skrip dan mahu mencuba menulis sitkom.
Buku ini boleh didapati dari reruai UUM Press dan juga Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 (PBAKL 2019) yang sedang berlangsung dari 29 Mac hingga 7 April 2019 bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur.