All News

UUM terima dua pengiktirafan di Anugerah PERSAMA 2018

 

UUM ONLINE 03 DISEMBER 2018: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima pengiktirafan di Anugerah PERSAMA 2018 (Persatuan Sains Matematik Malaysia) apabila berjaya meraih dua anugerah pada majlis yang diadakan di TH Hotel Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.

Kemenangan tersebut diraih melalui buku terbitan UUM Press berjudul Pelaburan Mengikut Perspektif Ekonomi karya Prof. Madya Dr. Sallahudin Hassan dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB, UUM) yang diumumkan sebagai pemenang Hadiah Sanjungan Kategori Buku Karya Asli.

 Sementara kemenangan kedua diraih oleh kumpulan penyelidik yang diketuai Shanizan Herman Mohd. Radzi  dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS, UUM) yang dipilih sebagai Pemenang Utama Kategori Reka Cipta Matematik.

Kumpulan penyelidik ini telah menghasilkan ciptaan inovasi kad permainan Ace of Math yang diterbitkan dan diedarkan oleh UUM Press. 

Selain Shanizan Herman, ahli lain dalam kumpulan penyelidik ini ialah Puteri Azwa Ahmad (Politeknik Tunku Syed Sirajuddin), Abdul Hadi Abdul Razak (SMMTC, UUM) dan Shanizan Imran Mohd. Radzi (Sekolah Kebangsaan Kampung Pasir Merbok).Pemenang masing-masing menerima sijil dan wang tunai yang disampaikan oleh Penolong Naib Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr. Marcus Jopony dan Dekan Fakulti Sains & Sumber Alam, UMS, Prof. Dr. Baba Musta.

Anugerah PERSAMA 2018 diadakan bersempena majlis makan malam Simposium Kebangsaan Sains Matematik 2018 Ke-26 anjuran bersama Persatuan Sains Matematik Malaysia, UMS dan Akademi Sains Malaysia.Anugerah yang telah dimulakan sejak tahun 1998 ini menawarkan lapan kategori anugerah iaitu Felo PERSAMA, Buku (Karya Asli), Buku (Karya Terjemahan), Tesis Doktor Falsafah, Tesis Sarjana, Makalah Ilmiah, Reka Cipta Matematik dan Rencana Popular.

Pada tahun ini sebanyak 96 pencalonan diterima daripada 13 buah universiti dan institut penyelidikan, 10 penerbit serta empat buah sekolah dan kolej.  Pemenang Anugerah PERSAMA layak untuk pencalonan Anugerah Akademik Negara.