All News

Buku Kematian Yang Indah rangkul Anugerah Buku Negara 2018

 

5 Ogos 2018

UUM ONLINE: “Saya sentiasa ingat pesan guru saya, orang berilmu apabila mati, mereka meninggalkan buku, kata-kata itu yang memberi momentum untuk terus berkarya.

“Kematian yang Indah bukan buku pertama saya, sebelum ini saya banyak menulis tentang kehidupan kerohanian atau kesufian,” kata Dr Rosnaaini Hamid yang menghasilkan karya Kematian Yang Indah sehingga dijulang sebagai penerima Anugerah Buku Ilmiah Terbaik, Anugerah Buku Negara 2018, sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 di PWTC, Kuala Lumpur.

Buku tersebut juga turut dicalonkan dalam Anugerah Akademik Negara 2018, Kategori Anugerah Penerbitan Buku.

Jelasnya, para sufi sentiasa bersedia untuk menghadapi hari kematian dengan melakukan amal ibadat dan menjauhi larangan Allah pada masa yang sama melaksanakan urusan dunia dengan penuh kejayaan.

“Dari sini timbul idea untuk menyusun semula bahan menjadi sebuah buku dalam bentuk yang kemas, gaya bahasa yang mudah difahami agar boleh menjadi panduan dan rujukan dalam melakukan amal ibadat seharian,” ujar Pensyarah Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden (SEML).  

Kematian yang Indah membincangkan persoalan kematian daripada dua dimensi disiplin ilmu yang berbeza iaitu tasawuf dan fikah. Persediaan diri yang sempurna untuk menghadapi kematian menjadi agenda penting dalam pendidikan tasawuf. Hal ini akan mendorong individu untuk mengimbangi diri dalam menunaikan tanggungjawab seharian dengan sempurna sebagai seorang khalifah dan hamba. Tambahan pula semua perkara yang dipikul semasa hayat akan dihitung dan dipertanggungjawabkan setelah mati kelak secara adil. Oleh sebab itu, setiap individu yang sihat perlu menunaikan tanggungjawab secara serius tanpa mengabaikan persoalan kematian kerana mematuhi tuntutan agama.

Uniknya tentang buku ini ialah pendedahan tentang persiapan menghadapi kematian bagi setiap yang bernyawa dan pasti menempuh kematian pada pandangan ahli sufi berdasarkan dalil daripada al-Quran, Hadis dan ulama muktabar. 

“Begitu juga melalui kajian PhD terutamanya al-Quran menunjukkan kematian suatu janji yang pasti, saya benar-benar kagum terhadap golongan sufi yang membuat persediaan dengan bersungguh-sungguh untuk menghadapi kematian.

“Mereka menzahirkannya dengan mencintai kehidupan kerohanian dan menumpu perhatian kepada kecemerlangan kehidupan selepas mati lalu dan saya mula mengkaji amalan yang dilakukan mereka untuk diambil iktibar dan panduan,” tambahnya.

Beliau menemukan pandangan mereka tentang amalan yang dilakukan untuk menghadapi kematian iaitu menjaga hubungan dengan Allah, sesama manusia dan pembangunan amalan kerohanian individu. 

“Saya yakin setiap orang bercita-cita mendapatkan kematian yang baik jadi buku ini  menyediakan adab sopan dan persediaan menghadapi kematian seperti yang diajar oleh Rasulullah dan para sufi,” kongsinya. 

Beliau menyifatkan buku ini lengkap untuk dijadikan panduan menghadapi kematian atau ditimpa musibah sehingga menyebabkan seseorang itu terlantar sakit. 

“Justeru, pendedahan tentang adab sopan dan amal ibadat yang perlu di aplikasi jika menerima berita tentang kematian atau sewaktu sedang terbaring menderita kesakitan wajar diambil iktibar oleh pembaca.

Ujarnya, Kelebihan buku ini menepati garis panduan dalam pengurusan jenazah kerana turut membincangkan tentang beberapa perkara penting seperti adab menziarahi jenazah, mandi, kafan, solat dan mengebumikan jenazah selain membincangkan adab sopan menziarahi orang sakit atau terserempak dengan orang yang nazak. Beliau berharap semoga kehadiran buku ini dapat dijadikan pedoman dan iktibar kepada kita untuk menempuh saat kematian yang pasti datang.