All News

UUM terima lima anugerah buku

 

UUM PRESS ONLINE: PWTC, Kuala Lumpur, 1 Mei 2018 - Buku dan makalah jurnal terbitan Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berjaya menerima lima hadiah dalam dua Anugerah Buku yang  diadakan sepanjang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 yang sedang berlangsung di PWTC, Kuala Lumpur bermula 27 April hingga 6 Mei 2018.

Dalam Anugerah Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM-KPT) 2017 anjuran Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), UUM memperoleh kejayaan melalui buku bertajuk “Praktis Hibah di Malaysia” hasil karya Prof. Madya Dr. Alias Azhar dari Pusat Pengajian Undang-undang (SOL). Buku yang diterbitkan pada tahun 2017 tersebut mendapat tempat ketiga bagi kategori Buku Ilmiah Terbaik bidang Kemanusiaan dan Sains Sosial.

Selain itu, makalah bertajuk “A Self-Determination Theory based Motivational Model on Intentions to Drop Out of Vocational Schools in Vietnam” yang ditulis oleh Dr. Amrita Kaur, Dr. Abdul Hamid Busthami dan Bui Thi Thuy Hang dari Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden (SEML) telah mendapat tempat ketiga bagi kategori Makalah Jurnal Terbaik bidang Sains Sosial dan Kemanusiaan. Makalah berkenaan diterbitkan dalam Malaysian Journal of Learning and Instruction (MJLI) Vol. 14 No. 1 June 2017 yang diterbitkan oleh UUM Press.

Majlis Anugerah MAPIM KPT disempurnakan oleh Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi merangkap Pengerusi Lembaga MAPIM. Sementara itu, UUM turut memenangi tiga anugerah dalam Anugerah Buku Negara 2018. Majlis anugerah yang berlangsung buat kali ke-15 ini dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara dengan kerjasama Industri Perbukuan Negara.

UUM menerima Anugerah Buku Umum Terbaik Kategori Undang-undang melalui buku yang bertajuk Pengguna Bijak Undang-undang. Buku ini adalah hasil tulisan Roos Niza Mohd Sharif, Pensyarah SOL, UUM.  UUM turut diumumkan sebagai penerima Anugerah Buku Kreativiti dan Seni Warisan Terbaik. Kejayaan tersebut dilakar melalui buku bertajuk Menora Seni Warisan Etnik Siam hasil karya Dr Lim Swee Tin dan Eh Deng Eh Chik. Kemuncaknya, UUM diumumkan sebagai penerima Anugerah Buku Ilmiah Terbaik, Anugerah Buku Negara 2018. Buku bertajuk Kematian Yang Indah adalah hasil tulisan Dr Rosnaaini Hamid, Pensyarah SEML, UUM. Majlis Anugerah Buku Negara 2018 telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr Raduan Che Rose. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Prof. Dr. Ayoib Che Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang mewakili Naib Canselor dan Prof. Madya Dr. Ram Al Jaffri Saad, Pengarah UUM Press.