UUM PRESS ONLINE: Program Resensi Buku yang membicarakan dua buah buku terbitan UUM Press telah berlangsung di Pentas Utama, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada 27 April yang lalu.
Norhashimah Hashim, penulis bagi kedua buku bertajuk “Catatan Seorang Hamba” dan “Cinta Mahligai Mereka” telah diberi peluang bagi membincangkan hasil penulisan beliau itu
Menurut Norhashimah yang merupakan seorang guru Pendidikan Khas di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Malik di Alor Setar ini, kedua-dua buku nukilan beliau merupakan hasil pengalaman hidup beliau yang ditulis dari sudut pandangannya sendiri memandangkan beliau juga merupakan seorang Orang Kelainan Upaya (OKU). Hal ini bagi mengelakkan salah pandangan dan salah tafsir daripada OKU penglihatan yang lain.
Buku “Catatan Seorang Hamba” merupakan travelog penulis semasa beliau menunaikan ibadah haji. Perjalanan kembara ibadah beliau itu bukan sekadar menjadi pengembaraan rohani dan jasmani seorang yang bergelar hamba malah merupakan penghijrah seorang hamba yang amat bererti.
Buku “Mahligai Cinta Mereka” pula merupakan kisah penuntut di universiti. Buku ini mengisahkan dua sahabat Adli dan Farah yang sedang menuntut di universiti. Keakraban persahabatan mereka telah disalah erti oleh Awi, tunang Farah yang merupakan seorang bekas penagih dadah dan bekerja di kampung. Norhashimah sememangnya amat aktif menghasilkan karya sastera walaupun OKU Penglihatan sepanjang tempoh beliau berkarya, beliau telah menghasilkan sebanyak 12 novel dan pernah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Kategori Novel Remaja “Lambaian Kinabalu” pada tahun 2001.
Selain itu, banyak juga cerpen beliau terbit dalam beberapa antologi terbitan penerbit utama negara. Selain menulis novel dan cerpen, beliau juga turut menulis puisi dan satu daripada puisi nukilan beliau telah diterbitkan dalam antologi puisi “Mutiara Timur” yang di selenggara Talib Samad. Beliau juga turut menulis skrip yang dihantar ke stesen radio. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur sedang berlangsung dari 27 April hingga 6 Mei 2018, bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur.