All News

UUM ONLINE 14 Mac 2018: Majlis Apresiasi UUM Press – Perangsang untuk terus berkarya

 

UUM Press mengiktiraf jasa penulis dan ilmuwan terhadap usaha dan sokongan yang diberikan dalam merancakkan agenda pembudayaan penulisan dan penerbitan pada Majlis Apresiasi UUM Press di EDC Hotels & Resorts, UUM, semalam. Pengarah UUM Press, Dr. Ram Al Jaffri Saad berkata, majlis itu diadakan bertujuan menghargai staf, penulis pusat pengajian dan penulis luar yang membantu UUM Press menerbitkan 43 manuskrip pada tahun 2017.

“Anugerah ini memberi semangat dan dorongan kepada pensyarah untuk memberi sokongan bagi meningkatkan penerbitan yang bermutu di bawah imprint UUM Press,” ujarnya.Jelasnya, UUM Press yang mendokong UUM sebagai penerbit ilmiah sentiasa memberi bantuan tentang penerbitan bagi memudahkan warga UUM menerbitkan karya mengikut piawaian penerbitan ilmiah. “Namun, UUM Press berhadapan dengan pelbagai cabaran yang terpaksa dilalui terutamanya lambat dalam menerbitkan sesuatu karya apatah lagi karya bermutu tinggi bukan dalam masa yang singkat. “Dulu saya juga mempunyai persepsi yang sama tetapi apabila bergelumang dengan UUM Press baru saya tahu keadaan dan kekangan yang dihadapi.“Berdepan isu sama, misalnya sebuah penerbit terkenal di Malaysia mempunyai 130 editor dan mengambil masa 4 tahun proses penerbitan tetapi di UUM Press dalam masa 10 bulan dengan 4 orang sahaja yang terlibat dalam penerbitan buku dan 3 editor jurnal,” luahnya. Beliau percaya majlis seumpama ini dapat mewujudkan kerjasama yang lebih erat supaya penulis mengenali editor dan apabila ada persefahaman akan memberi hasil yang lebih baik. 

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dr. Abdul Malek Abdul Karim berkata, penulisan yang diterbitkan oleh penerbit universiti selain menjadi sumber rujukan maklumat pelajar dan masyarakat juga menyumbang kepada data Myra, ranking dan akreditasi lain yang ingin dicapai oleh universiti.“Penulisan dan penerbitan satu perkara yang sangat penting matlamat yang ditetapkan oleh universiti tidak dapat dicapai sekiranya penerbitan tidak dapat ditingkatkan.“Tahniah kepada semua penerima, semoga penganugerahan ini akan menjadi perangsang untuk terus berkarya dan menjadi contoh kepada rakan-rakan lain bergiat aktif dalam bidang penulisan dan penerbitan yang seharusnya menjadi darah daging dalam dunia akademia,” ucapnya yang mewakili Naib Canselor UUM.Selain itu katanya, sudah tiba masanya UUM Press membuat perubahan dengan memberi fokus pada e-publishing yang telah menjadi trend yang digunakan pada zaman sekarang.Beliau turut menyampaikan anugerah kepada pemenang seperti Anugerah Penulis Buku Terbanyak UUM Press, Anugerah Penulis Harapan, Anugerah Pusat Pengajian Paling Banyak Menerbitkan Buku, Anugerah Royalti Buku Teks Kategori Pusat Pengajian dan Anugerah Judul Buku Yang Terlaris.

Oleh: Siti Fatimah Abdullah 
Gambar oleh: Abdul Halim Husain