UUM ONLINE: Resensi Buku yang membicarakan tentang Democracy at Work in Malaysia anjuran UUM Press berlangsung di Varsity Mall, Universiti Utara Malaysia (UUM), pada 29 Oktober 2017. Majlis Resensi buku ini merupakan satu program promosi hasil penerbitan UUM Press untuk para penulis mempromosikan buku masing-masing.
Kali ini, sesi resensi buku membincangkan buku Democracy At Work In Malaysia hasil karya suntingan Pengarah di Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi UUM, Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani, dan pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS), Dr. Ummu Atiyah Ahmad Zakuan. Menurut Prof. Dr. Mohd Azizuddin, buku ini memberikan latar belakang penting untuk membina pemahaman tentang demokrasi dalam konteks pilihanraya dan apa yang diharapkan dari Pilihanraya Umum Ke-14(PRU14).
“Bukan senang nak terbit buku yang melibatkan ramai penulis menariknya, bab-bab dalam buku ini ditulis berdasarkan penyelidikan yang telah dijalankan. “Buku ini meneroka beberapa isu menarik yang menguasai bidang awam semasa PRU13 dan menceritakan banyak isu yang berlaku pada 2013. Buku setebal 278 muka surat itu merangkumi pelbagai fakta, fiksyen, persepsi dengan politik, demokrasi Malaysia dan perspektif dalam memahami PRU14 yang akan datang. “Buku ini mesti dibaca untuk rakyat Malaysia yang suka bercakap, belajar dan memberi pendapat tentang politik Malaysia,” ujarnya