All News

UUM Press rangka model perniagaan buku komersial

 

UUM Press Online : - UUM Press sedang merangka model perniagaan untuk menerbitkan buku komersial bertujuan meningkatkan jualan hasil penerbitan bagi mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan oleh pihak Universiti kepada UUM Press bagi tempoh  2017 hingga 2020.

Rancangan menerbitkan buku yang mempunyai nilai komersial perlu dibuat dengan teliti bagi memastikan pelaburan wang dalam projek penerbitan buku mampu menjana keuntungan dan pendapatan kepada Universiti.

Bagi mendapatkan input dari perspektif industri, Universiti telah melantik lima pakar dalam industri perbukuan sebagai ahli Panel Penasihat yang berperanan memberi nasihat sekali gus membantu memberi idea dan percambahan fikiran bagi mentransformasikan penerbitan UUM Press.

Mesyuarat Panel Penasihat yang pertama pada 5 Mei 2017 yang lalu telah berjaya mendapatkan lontaran idea bagaimana untuk mengkomersialkan penerbitan ilmiah supaya mampu menarik perhatian pembaca dan penggemar buku yang telah bertukar gaya dan citarasa dalam memilih bahan bacaan. 

Mesyuarat Panel Penasihat tersebut yang dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan dan Inovasi) Prof. Dr. Noor Azizi Ismail telah dihadiri oleh  Datuk Abdul Jalil Ali (Karangkraf), Encik Mohd Khir Ngadiron (Institut Terjemahan dan Buku Malaysia), Tuan Syed Munawar Syed Mohd Mustar (Perbadanan Kota Buku) dan Datuk Dr. Sabri Yusuff (Yayasan Pembangunan Buku Negara) dan Prof. Madya Dr. Ram Al Jaffri Saad (Pengarah UUM Press). Turut hadir ialah Ketua-Ketua Seksyen UUM Press.

Antara perkara yang disarankan oleh pihak industri adalah kandungan manuskrip ilmiah bermutu yang harus diubah gaya persembahan dan penulisan supaya lebih ringkas, menarik dan santai.  Penerbit juga perlu lebih kreatif merancang projek penerbitan dengan cara mengaitkannya dengan selebriti dan tokoh korporat yang boleh dijadikan ikon kepada pembaca. 

Selain itu, trend buku teks pelajar peringkat tinggi kini juga mengalami perubahan yang banyak menggunakan ilustrasi grafik dan bercorak komik untuk memudahkan pelajar memahami konsep dan teori yang mahu diajar.

Sebagai penerbit, UUM Press disaran supaya menjadikan bidang Keusahawanan dan Perniagaan sebagai niche penerbitan serta membina jenama yang kukuh bagi menyokong UUM yang terkenal dalam bidang pengurusan perniagaan.  Judul dalam bidang Keusahawanan dan Perniagaan seharusnya diterbitkan lebih banyak oleh UUM Press dan buku-buku rujukan terbaik dalam bidang tersebut seharusnya boleh didapati dengan mudah di  UUM Press Bookstore.

Ahli akademik UUM yang ramai dan pakar dalam pelbagai bidang adalah aset kepada UUM Press dan harus dimanfaatkan untuk penyebaran ilmu melalui penerbitan sebagai jambatan untuk menghubungkan universiti dengan masyarakat. Dengan ini peranan tangggungjawab sosial universiti tidak dikesampingkan.