All News

UUM rangkul tiga Anugerah Buku Negara 2017

 

UUM ONLINE, 03 Mei 2017: UUM sekali lagi menempa kejayaan apabila tiga judul buku terbitan Penerbit UUM (UUM Press) telah dipilih sebagai pemenang Anugerah Buku Negara 2017 pada Majlis Anugerah Buku Negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Buku hasil cetusan idea penerbitan Naib Canselor, Prof Dato’ Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak bertajuk ‘Merafak Sembah: Tiga Dasawarsa Menerajui Kecemerlangan’ telah memenangi Anugerah Buku Biografi Terbaik pada malam itu.

 

Buku ‘Dikir Barat Seni Hiburan Rakyat’ karya Lim Swee Tin dan Mohd Sulhie Yusof pula menerima Anugerah Buku Seni dan Kreativiti Terbaik, manakala buku ‘Pengurusan Pusaka Islam di Malaysia: Teori dan Pengiraan’ oleh pensyarah Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Nasri Naiimi menerima anugerah bagi kategori Buku Islamik Terbaik.

Anugerah tersebut telah disampaikan Menteri Pendidikan, Dato’ Seri Mahdzir Khalid yang mewakili Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Majlis Anugerah Buku negara anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara yang dihadiri lebih 300 penggiat industri buku seperti penulis, penerbit dan tokoh bidang penerbitan itu diadakan bagi menghargai dan mengiktiraf sumbangan warga kerja di sebalik tabir industri buku Malaysia.

Penerimaan anugerah itu diharap dapat memberi motivasi untuk terus meningkatkan penghasilan penerbitan yang lebih berkualiti setanding dengan buku import yang memenuhi pasaran dan perpustakaan tempatan.

Ia juga adalah bagi memberi peluang kepada masyarakat umum untuk mengenali penulis, pelukis, pereka grafik, jurufoto dan mereka yang terlibat dalam bidang penerbitan ini, selain menimbulkan minat memilih kerjaya dalam industri penerbitan buku.

UUM Press juga mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dalam penghasilan buku-buku ini kerana pencapaian yang dikecapi itu tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa sumbangan, semangat kerja berpasukan, ketabahan dan komitmen semua.

Kejayaan merangkul anugerah itu juga telah mengulangi pencapaian tahun lalu yang mana UUM telah memenangi Anugerah Buku Negara 2016 menerusi buku The Politics of Bangsa Malaysia hasil karya Naib Canselor dan buku Najibnomics oleh Dr Irwan Shah Zainol Abidin yang diiktiraf sebagai Buku Ilmiah Popular dan menerima Anugerah Penerbit Terbaik.

Walaupun pencapaian tersebut boleh dibanggakan, namun masih banyak lagi yang perlu dilakukan kerana UUM mempunyai banyak sumber, para ilmuwan dan maklumat untuk dikongsi dengan masyarakat, justeru, UUM Press akan terus menerbitkan bahan ilmiah yang menjadi keutamaan bagi menyuburkan penerbitan ilmiah, seterusnya menjadi rujukan pada masa hadapan.