UUM ONLINE, 27 Februari 2017: "Untuk menjadi rakyat yang kreatif, kita perlu mempunyai ilmu yang diperolehi melalui pembacaan, pemerhatian, pertanyaan dan pendengaran, seterusnya akan membentu kelompok ilmu," kata Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Noor Azizi Ismail yang mewakili Naib Canselor ketika merasmikan Pesta Buku Utara 2017 yang bertemakan 'Cintai Buku, Kuasai Ilmu' di Perpustakaan Sultanah Bahiyah, petang tadi.
Beliau yang membacakan teks ucapan Naib Canselor berkata, dengan ilmu yang ada, manusia boleh berfikir dan untuk mewujudkan masyarakat berfikir harus mempunyai 'passion' yang lahir dari hati.
Menurutnya, ketamadunan sesuatu bangsa itu boleh dicapai dengan adanya kecemerlangan dalam bidang ilmu pengetahuan, tambahan lagi dalam keadaan dunia masa kini, semua maklumat boleh diakses di hujung jari dan seiring dengan globalisasi wujudnya e-book, namun buku bercetak masih lagi relevan dan menjadi keperluan terutama kepada mereka yang terus mencari ilmu pengetahuan.
"Menurut statistik Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), trend pinjaman bahan dari perpustakaan di seluruh negara pada tahun 2016 menunjukkan sedikit penyusutan, manakala statistik peminjaman bahan digital di PNM bagi tahun 2013-2016 menunjukkan peningkatan ketara.
"Kajian interim tabiat membaca rakyat Malaysia 2014 mendapati bahan bacaan pilihan rakyat Malaysia ialah majalah sebanyak 62.8 peratus; akhbar (61.2 peratus); buku ilmiah (54.8 peratus); novel dan fiksyen (47 peratus); bahan dalam talian (46.4 peratus); buku bukan fiksyen (29.9 peratus); komik (25.3 peratus) dan jurnal (19.9 peratus).
"Hasil kajian ini juga menunjukkan secara keseluruhannya rakyat Malaysia membaca sebanyak 15 naskhah buku setahun berbanding hanya dua buah buku setahun pada tahun 2011," ujarnya.
Tambah beliau lagi, Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MAPOBA) pada Mei 2016 berdasarkan statistik repositori oleh Perpustakaan Negara Malaysia, sebanyak 15,354 judul telah diterbitkan pada tahun 2015, sekali gus menunjukkan trend kemerosotan buku yang diterbitkan sejak dari tahun 2013.
Katanya, untuk mengubah keadaan tersebut, amalan membaca perlu dipupuk pada peringkat awal usia dan ibu bapa harus memainkan peranan yang penting untuk menggalakkan minat membaca dalam kalangan anak-anak.
Beliau berharap agar UUM menjadi hub kesarjanaan, pusat kecemerlangan ilmu dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan sains, teknologi dan inovasi serta penerbitan.
Pada majlis itu, Prof Dr Noor Azizi turut melancarkan buku terbitan UUM Press bertajuk Pengurusan Pusaka Islam: Wasiat dan Hibah di Malaysia, Isu dan Aplikasi tulisan Dr Nasri Naiimi, Pensyarah Kanan dari Pusat Pengajian Perniagaan Islam, seterusnya menyampaikan Anugerah Penghargaan Pengguna PSB 2016 mengikut kategori masing-masing.
Hadir sama Pengarah UUM Press, Prof Madya Dr Ram Al-Jaffri Saad dan pegawai-pegawai kanan UUM.