All News

News Paper Cutting/Articles І Naskhah dikir barat, seni hiburan rakyat

 

Utusan Malaysia, 23 September 2016

Apabila kita berbicara mengenai dikir barat, secara tidak langsung pasti akan mengaitkan dengan tempat kelahiran seni tersebut iaitu negeri Cik Siti Wan Kembang, Kelantan.

Selain diangkat sebagai satu kesenian bagi rakyat Kelantan, dikir barat juga sebenarnya sudah sebati dalam jiwa masyarakat Melayu, yang dianggap umpama medium menyalurkan maklumat dan seni kiasan dalam kehidupan seharian.

Walaupun dikir barat masih lagi popular dalam kalangan masyarakat hari ini, tetapi sebagai satu aktiviti seni yang menghiburkan, seharusnya kesenian ini dipelihara dan dkekal untuk tatapan generasi akan datang.

Bagi memastikan kelangsungan seni ini berdiri megah untuk generasi akan datang, lahirnya Tak Lerai Diasak Zaman-Dikir Barat Seni Hiburan Rakyat, yang merupakan sebuah naskhah dihasilkan khusus untuk memberi serba sedikit pengetahuan dan maklumat seni dikir barat ini.

Kehadiran naskhah ini dilihat penting di tengah-tengah asakan gelombang globalisasi dan terjahan pelbagai bentuk hiburan baharu yang dilihat mudah diterima ramai daripada mengangkat martabat budaya Melayu itu sendiri.

Dalam usaha meneruskan kelangsungan hayat dikir barat, penghasilannya juga boleh dijadikan panduan kepada penggiat-penggiat seni masa kini mengenai nilai seni dikir barat.

Buku ini yang dihasilkan oleh Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin, yang dikenali dalam bidang seni dan sastera, bersama Mohd. Sulhie Yusuf, seorang penggiat dikir barat), merupakan bahan bacaan santai yang dapat membantu pembaca memahami sejarah dan perkembangan kesenian dikir barat itu sendiri.

Penghuraiannya dilakukan dengan lebih terperinci tentang corak persembahan termasuk peralatan serta lagu dan nyanyian yang mengiringi pentas kesenian itu.

Menurut Swee Tin, buku tersebut digarap berpandukan ilmu, bagaimanapun persembahan tulisannya digayakan separa ilmiah yang pasti memberi lebih keselesaan kepada pembaca.

Kata Swee Tin lagi, kerjasama bersama Mohd. Sulhie merupakan satu gandingan padu di mana dia bertindak dari sudut kaca mata masyarakat, manakala Mohd. Sulhie lebih kepada teknikal.

“Dikir barat dilihat satu kesenian yang boleh diterima ramai tanpa mengira kaum, agama, dan juga umur malah sudah menjadi salah satu acara penting di peringkat nasional.

“Disebabkan itu juga perlunya buku seperti ini diterbitkan kerana belum pernah ada lagi naskhah berkenaan dikir barat berada di pasaran.

“Penghasilannya dilakukan menerusi kajian serta bahan-bahan yang telah dikumpul sejak sekian lama,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Bercerita lebih lanjut mengenai hal tersebut, Swee Tin menjelaskan, mereka mengambil masa selama setahun untuk menghasilkan buku itu.

Kerja mengumpul dan menyunting menjadi mudah kerana bahan-bahan mengenai dikir barat sememangnya telah sedia disimpan oleh Mohd. Sulhie dan mereka hanya perlu memilih dan mengolah semula apa yang perlu dan hendak dimuatkan di dalam naskah pengenalan tersebut.

Dihasilkan setebal 100 muka surat berwarna, Tak Lerai Diasak Zaman-Dikir Barat Seni Hiburan Rakyat, diterbitkan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM).

Telahpun berada di pasaran sejak awal bulan ini , untuk cetakan pertama buku ini telah dicetak 1,000 naskah bagi setiap edisi berkulit lembut dan kulit keras.

Walaupun baharu sahaja diterbitkan, naskhah ini telah berjaya menarik minat penterjemah dari Thailand yang berhajat untuk menterjemahkan karya tersebut ke bahasa negara berkenaan, begitu juga edisi yang sama akan diterjemahkan ke Bahasa Jepun apabila naskhah berkenaan di edarkan di negara matahari terbit itu.

Boleh didapati di semua kedai buku, anda boleh memiliki naskah berkulit lembut pada harga RM48 manakala berkulit keras RM76. - Gambar JEFFRI IRAN

- See more at: http://www.utusan.com.my/hiburan/naskhah-dikir-barat-seni-hiburan-rakyat-1.386245#sthash.I1B3X4XV.dpuf