Utusan Malaysia: 01 Mei 2016
KUALA LUMPUR 30 April – Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Zainuddin Maidin yang lebih dikenali dengan nama penanya sebagai Zam menulis kisah perjalanan kariernya sebagai wartawan dalam buku berjudul Saya Bukan Menteri: Memoir Wartawan Negara.
Menurut Zainuddin, biografi tersebut dihasilkan melalui daya ingatannya sebelum dicampurkan dengan fakta-fakta yang pernah dicatatkan sebelum ini.
“Dunia kewartawanan amat istimewa dalam hidup saya, ia mengajar saya untuk menjadi manusia berilmu dan sentiasa berpegang kepada prinsip memperjuangkan kebenaran.
“Perjuangan sebagai wartawan amat mencabar dan ia akan tercapai sekiranya kita bersandarkan kepada ilmu,” katanya dalam sidang akhbar majlis Bicara Karya dan Pelancaran Buku Saya Bukan Menteri: Memoir Wartawan Negara sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dekat sini hari ini.
JOHAN Jaaffar (dua dari kanan) melihat buku berjudul Saya Bukan Menteri: Memoir Wartawan Negara hasil nukilan Zainuddin Maidin (dua dari kiri) selepas melancarkan buku itu sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016 di di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang, Selangor, semalam.
Majlis pelancaran buku oleh bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Johan Jaaffar itu turut dihadiri Pengarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Press, Prof. Madya Dr. Ram Al-Jafri.
Antara karya besar Zainuddin yang pernah diterbitkan ialah biografi bergambar Tun Razak: Jejak Bertapak Seorang Patriot, Mahathir Di Sebalik Tabir dan Di Depan Api Di Belakang Duri: Kisah Sejarah Utusan Melayu.
Sementara itu, Zainuddin berkata, penglibatannya dalam dunia kewartawanan membuatkan dia tidak berminat menceburi bidang lain.
“Saya tidak kecewa, tidak berdendam malah tidak marah sama sekali apabila terpaksa meninggalkan dunia politik kerana dunia kewartawanan merupakan kaedah paling relevan untuk menyebar kebenaran kepada rakyat,” katanya.
Sumber
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/zam-bukukan-pengalaman-sebagai-wartawan-1.300494#sthash.T4SRkcIE.dpuf