All News

News Paper Cutting/Articles І Kunci kejayaan GST

 

Utusan Online

Ram Al Jaffri Saad, 03 Jun 2015

PENEGASAN Perdana Menteri yang mahu agar penguatkuasaan penyalahgunaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ditingkatkan sangat menarik dibincangkan.

Ketika masyarakat bertungkus-lumus menyesuaikan diri dengan GST, pemantauan dan penguatkuasaan yang berterus­an dan efisien daripada agensi penguat kuasa diyakini mampu menjadi faktor penentu kejayaan cukai ini.

Masyarakat saban hari sering didedahkan dengan berita kenaikan harga barang selepas pelaksanaan GST pada 1 April lalu. Kajian dan pemantauan yang dilakukan oleh Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menunjukkan harga kebanyakan barang meningkat antara 20 hingga 30 peratus sejak GST dilaksanakan.

Apa yang lebih dikesalkan setelah harga barangan ini dinaik­kan sekitar 30 peratus, GST pula dikenakan sebanyak enam pera­tus. Tindakan tidak bertanggungjawab oleh sesetengah peniaga ini memberi kesan buruk kepada masyarakat pengguna.

Jika dibuat perbandingan harga dan cukai yang terpaksa dibayar, pengguna menanggung 36 peratus kenaikan kos yang berpunca daripada kenaikan harga barangan dan cukai. Juste­ru, perkara-perkara ini harus ditangani segera agar kebajikan masyarakat dapat dijaga. Pemantauan dan penguatkuasaan GST wajar diberi perhatian serius oleh semua pihak. Jika tidak, pengguna akan menjadi mangsa.

Kerajaan telah bertindak proaktif dengan menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan GST yang bertanggungjawab menyelaras dan memastikan dasar, undang-undang dan peraturan GST disediakan dan dilaksanakan secara lancar. Jawatankuasa itu juga akan menangani isu berkaitan GST yang dibangkitkan oleh rakyat dan memastikan program komunikasi yang dijalankan adalah berkesan.

Sejauh mana peranan dan kejayaan jawatankuasa ini memainkan tanggungjawabnya masih menjadi persoalan. Mungkin kajian keberkesanan masih terlalu awal untuk dilakukan. Namun, jika jawatankuasa ini dapat menjalankan tugas dengan baik, penulis percaya masyarakat akan menaruh keyakinan kepada mereka.

Mengapa pemantauan dan penguatkuasaan penting? Pertama, dalam pelaksanaan GST, negara telah menggubal dasar, undang-undang dan peraturan khas. Hanya melalui pemantauan dan penguatkuasaan berterusan dapat memastikan pematuhan kepada dasar, undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan.

Kedua, pemantauan dapat mengenal pasti kepincang­an dan kelemahan. Dengan itu, langkah memperbaiki pelbagai aspek seperti perancangan, pengurusan dan pelaksana­an dapat diambil. Ini secara tidak langsung dapat mening­katkan kepercayaan masyarakat kepada agensi kerajaan.

Ketiga, pemantauan dan penguatkuasaan menjadi bukti jika berlaku impak negatif dan kesan kurang baik kepada masyarakat. Oleh itu, pemantauan sangat penting sebagai pemberi amaran kepada semua pihak.

Kepentingan pemantauan dan penguatkuasaan dapat diserlahkan dengan tindakan agensi penguat kuasa sedia ada. Justeru, apa yang perlu dilakukan oleh agensi pemantauan dan penguatkuasaan sekarang?

Umum sedia maklum, langkah pemantauan dan penguatkuasaan memerlukan peruntukan kewangan yang besar. Antaranya bagi menambah aktiviti dan program serta bilang­an penguat kuasa di jabatan-jabatan kerajaan. Adalah wajar bilangan pegawai pemantau dan penguat kuasa ditambah agar tindakan lebih sistematik dan efisien dapat dilakukan.

Selain itu, kefahaman sedia ada pegawai penguat kuasa terhadap GST juga perlu ditingkatkan agar mereka lebih memahami tanggungjawab masing-masing. Kelemahan penyelarasan antara jabatan yang terlibat juga perlu diatasi menerusi kerjasama dan kesepaduan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan.

Tumpuan pemantauan juga wajar diambil kira. Kita tidak mahu ‘hangat-hangat tahi ayam’. Tumpuan pemantauan dan penguatkuasaan haruslah tidak bersifat jangka pendek.

Dalam pada itu, kurangnya penyertaan awam boleh membantutkan keberkesanan aktiviti yang dijalankan. Walaupun saban hari kita didedahkan dengan jumlah laporan dan aduan awam, namun penglibatan masyarakat awam secara langsung dalam penguatkuasaan masih kurang.

Sebagai kesimpulannya, pemantauan dan penguatkuasaan adalah penting dalam memastikan kejayaan GST. Masyarakat mahukan pemantauan dan tindakan yang efisien daripada pihak-pihak berwajib. Ini bagi menyelesaikan segala permasalahan yang sedang ditanggung oleh mereka.

PENULIS ialah Pengarah Penerbit UUM (UUM Press) dan Pensyarah Kanan Perakaunan Islam, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Universiti Utara Malaysia (UUM).

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/kunci-kejayaan-gst-1.98615#sthash.kt9LtXLR.dpuf