Utusan Online
Dr. Ram Al Jaffri Saad, 06 Mei 2015
PESTA Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2015 baru sahaja melabuhkan tirainya. Seperti tahun-tahun sebelumnya, kemeriahan pesta buku pada tahun ini tidak kurang hebatnya. Dianggarkan lebih daripada 1 juta pengunjung dicatatkan bagi pesta buku kali ini.
Statistik ini menunjukkan rakyat negara ini masih mempunyai semangat membaca yang tinggi dan menghargai ilmu. Petunjuk ini memberi isyarat positif bagi negara untuk mencapai negara maju menjelang 2020 kerana masyarakat negara maju adalah masyarakat yang berilmu dan berpendidikan.
Penulis bersama rakan-rakan sekerja daripada Penerbit UUM (UUM Press) turut menyertai pameran PBAKL ini. Ini adalah tahun pertama bagi penulis untuk berjinak-jinak dengan industri buku. Ternyata masih banyak yang perlu dipelajari dalam industri yang dikatakan kecil ini, namun kesannya besar kepada agama, bangsa dan negara.
Industri buku sepertimana industri lain dalam negara turut terkesan dengan pelaksanaan cukai barangan perkhidmatan (GST). Namun kesan GST kepada industri ini agak unik kerana tidak melibatkan faktor kewangan tetapi kesannya lebih kepada faktor bukan kewangan.
Untuk pengetahuan semua, industri buku diberikan keistimewaan dalam hal layanan GST yang mana penerbitan buku dikenakan GST pada kadar 0 peratus (zero rated). Pengecualian ini dicapai hasil daripada perbincangan wakil industri bersama kerajaan melalui Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dua hari menjelang pelaksanaan GST.
Sebelum keputusan ini dicapai, banyak spekulasi dimainkan mengenai kesan GST kepada industri buku. Bermacam-macam tafsiran kepada peraturan dan garis panduan dikemukakan sama ada oleh JKDM mahupun pihak industri berkenaan GST. Namun, tidak ramai yang tahu sebenarnya buku tidak dikenakan GST. Sebelum ini, ada pihak yang mendakwa industri buku secara keseluruhannya mengalami kemerosotan jualan antara 30 peratus hingga 45 peratus pada suku pertama awal tahun ini. Kemerosotan ini boleh dikaitkan dengan banyak faktor dan satu daripadanya adalah GST.
Ketidakpastian masyarakat mengenai harga buku sebelum dan selepas pelaksanaan GST telah menjadi polemik yang sukar ditemui jawapannya. Walaupun pihak kerajaan memberikan tempoh setahun kepada industri bagi menyelesaikan permasalahan sebelum pelaksanaan GST, namun industri buku dikatakan tidak memainkan peranannya untuk bertemu JKDM bagi menyelesaikan perkara-perkara berbangkit berkenaan industri ini.
Pihak JKDM yang tidak memahami secara terperinci mengenai industri buku telah mengandaikan tiada perkara berbangkit dalam hal berkenaan buku. Namun, setelah perbincangan dilakukan bersama-sama wakil industri, maka keputusan yang dicapai adalah segala jenis bentuk buku tidak dikenakan GST. Namun keputusan yang dibuat ini adalah di hujung-hujung pelaksanaan GST.
Keputusan yang dicapai ini agak melegakan penggerak industri buku di Malaysia. Pengecualian GST menandakan harga buku tidak meningkat. Malah jika diperhalusi, kemungkinan harga buku boleh diturunkan. Namun, malangnya pengecualian GST gagal dimaklumkan kepada sebilangan besar masyarakat. Maka timbul halangan psikologi dalam diri mereka yang sebilangan besarnya masih ragu-ragu dan tertanya-tanya sama ada kos membeli buku akan meningkat.
Justeru, adalah menjadi harapan agar maklumat penting terutama senarai barang dan perkhidmatan yang dikenakan dan tidak dikenakan GST perlu dihebahkan seluas mungkin kepada masyarakat.
Diharapkan insentif yang diberikan oleh pihak kerajaan kepada industri buku akan merancakkan lagi industri ini dalam negara pada masa hadapan. Untuk menjadi sebuah negara maju menjelang 2020, industri buku turut memainkan peranan penting. Jangan lupa bahawa sesebuah negara maju perlu mengeluarkan 35,000 judul penerbitan baru setiap tahun. Sedangkan pada waktu sekarang industri buku negara hanya berjaya mengeluarkan lebih 17,000 judul setahun. Moga pengecualian GST ini dapat merangsang industri ini dan seterusnya negara berjaya mencetak lebih 35,000 setahun menjelang 2020.
PENULIS ialah Pengarah Penerbit UUM (UUM Press) dan Pensyarah Kanan Perakaunan Islam, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Universiti Utara Malaysia.
- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/masa-depan-industri-buku-negara-1.88300#sthash.FxEZDEDk.dpuf