Utusan Online
Dr. Ram Al Jaffri Saad , 03 April 2015
TANGGAL 1 April 2015 merupakan satu lagi detik bersejarah bagi negara kerana pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan akan dilaksanakan. Detik bersejarah ini harus diingati sebagai sebahagian daripada proses transformasi ekonomi yang akan menentu jatuh bangun pembangunan negara pada masa akan datang.
Walaupun pelaksanaan GST mendapat sokongan penuh kebanyakan rakyat, namun ada segelintir daripadanya merasa sangsi dengan pelaksanaan cukai ini. Di samping pelbagai bentuk penerangan dan iklan telah dilakukan oleh pihak kerajaan, namun masih ada suara-suara yang ragu-ragu dengan pelaksanaan GST.
Sayugia diingatkan bahawa sesuatu perkara yang baru sudah pasti akan membawa bersama-samanya kebaikan dan kelemahan yang berpunca daripada pelbagai sudut. Sebagai seorang warganegara yang rasional dan waras, sudah pasti pelaksanaan GST menuntut kepada satu bentuk pola pemikiran yang adil bagi menilai keberkesanannya. Jangan sesekali ada perasaan dan rasa ingin menuding jari kepada mana-mana pihak tanpa disertakan dengan bukti dan hujah yang kuat.
Penulis secara peribadi merasakan seharusnya diberikan peluang kepada pihak kerajaan bagi melaksanakan cukai ini. Kerajaan juga perlu dari semasa ke semasa perlu mengkaji keberkesanan pelaksanaan cukai ini agar ia tidak membebankan rakyat dan objektif pelaksanaannya tercapai. Kita tidak mahu apa yang dikejar tak dapat dan apa yang dikendung keciciran.
Dalam satu sudut yang lain, pengurusan persepsi awam juga wajar diberikan perhatian serius. Jangan disangka setiap komen positif itu baik. Jangan pula dilupa setiap yang negatif itu tidak baik. Perlu ada pengurusan persepsi yang berkesan agar persepsi positif terus disubur dan disebarluaskan. Persepsi negatif paling tidak diubah menjadi neutral.
Justeru, dalam pengurusan persepsi ini, banyak perkara perlu dilihat secara teliti. Pertama, dalam melaksanakan sesuatu dasar atau amalan baru, adalah menjadi satu kebiasaan bagi mana-mana negara atau organisasi untuk berhadapan dengan masalah dan golongan yang cuba mengambil kesempatan.
Secara teorinya, ada pihak yang akan cuba melakukan sabotaj atau ‘menangguk di air keroh’ sebelum, semasa dan selepas GST dilaksanakan. Pihak-pihak ini akan sentiasa memikirkan jalan untuk mengaut keuntungan atas kelemahan manusia atau kelemahan sesuatu sistem.
Kedua, harus diakui bahawa kebanyakan peniaga dan rakyat masih kurang ilmu dan pengetahuan mengenai GST. Perkara ini bukan sahaja berlaku kepada rakyat biasa malah mereka yang berpelajaran tinggi juga memandang enteng tentang perlunya pengetahuan dan maklumat berkaitan GST.
Usaha kerajaan dalam memberikan penerangan kepada rakyat berkenaan GST boleh dikatakan sangat baik. Namun, maklumat yang ingin disampaikan masih tidak berkesan sepenuhnya kepada masyarakat terutama bagi memahamkan mereka mengenai hak-hak mereka terhadap GST dan barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan daripada GST.
Secara mudahnya, jika semua rakyat berjaya memahami kaedah dan pelaksanaan GST, sudah pasti kita tidak akan mudah ditipu oleh golongan peniaga atau penyedia servis yang tidak bertanggungjawab. Setidak-tidaknya dengan pengetahuan yang kita ada kita boleh mempersoalkan sesuatu kejanggalan kepada peniaga.
Dengan pengetahuan tersebut juga kita akan tahu hak-hak pengguna terhadap GST. Laporan dan aduan boleh dibuat terus sama ada kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) atau badan-badan pengguna seperti FOMCA dan sebagainya.
Justeru, bagaimana punca kepada persepsi ini boleh diurus dengan baik? Rakyat pasti tertanya-tanya kepada siapa mereka harus bergantung jika berhadapan dengan pihak yang cuba mengaut keuntungan secara tidak sah berikutan pelaksanaan GST?
Jawapannya pastilah ada. Kerajaan sebagai pihak yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam pelaksanaan GST telah mengumumkan langkah dan persediaan untuk menangani golongan penipu GST.
Golongan penipu GST boleh wujud dalam banyak keadaan sama ada mereka cuba mengaut keuntungan dengan menipu pengguna atau menipu kerajaan melalui aktiviti penipuan tuntutan GST. Masalah-masalah ini telah berlaku kepada negara-negara yang melaksanakan GST.
Justeru, dalam konteks negara kita jika golongan ini tidak ditangani dengan bijaksana, maka mereka pasti akan terus bermaharajalela. Strategi dan kaedah berkesan wajar dirangka segera untuk menangani perkara ini.
Langkah penguatkuasaan agensi kerajaan seperti JKDM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dalam menjalankan pemantauan terutama di kawasan luar bandar menjadi mekanisme penting kejayaan pelaksanaan GST. Penglibatan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat boleh menambah baik pelaksanaan GST.
Namun, pemantauan yang akan dijalankan harus disertakan dengan tindakan susulan dan denda yang setimpal kepada mereka yang melakukan kesalahan. Jangan seperti hangat-hangat tahi ayam. Pelaksanaan ini harus dilaksanakan secara berterusan.
Di samping itu, badan-badan pengguna negara diharap lebih proaktif dalam memantau pelaksanaan GST. Usaha pemantauan ini penting bagi memastikan pihak-pihak yang terlibat dengan pelaksanaan GST mematuhi sistem cukai ini sepenuhnya.
Sebagai contoh, pemantauan ke atas barangan-barangan keperluan asas dan sektor pengangkutan wajar dilakukan secara berkala dan berterusan. Hal ini kerana jenis barangan dan perkhidmatan ini memberikan kesan besar kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Jika tiada pemantauan dilakukan, rakyat bimbang akan dimanipulasi oleh golongan penipu GST.
Selain usaha ini, wujudkan juga pusat aduan atau tribunal pengguna bagi pengurusan masalah GST antara rakyat dan kerajaan. Letakkan seorang penguat kuasa di setiap pusat aduan yang boleh mengambil tindakan segera bagi setiap aduan.
Usaha ini mungkin dianggap remeh dan tidak penting bagi sesetengah pihak. Namun, jika dilaksanakan penulis berpendapat banyak pihak akan mendapat manfaatnya. Jangan tunggu nasi menjadi bubur!
PENULIS ialah Pengarah Penerbit UUM (UUM Press) merangkap Pensyarah Kanan Perakaunan Islam, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Universiti Utara Malaysia.
- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/beri-peluang-pelaksanaan-gst-1.76574#sthash.hJqNl58Y.dpuf