UUM ONLINE: Kuala Lumpur, 16 Disember 2016 - Usaha UUM Press mempertahankan seni warisan bangsa menerusi penerbitan buku Dikir Barat harus dituruti universiti-universiti lai
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Y.B Dato’ Sri Mustapa Mohamed berkata penerbitan buku “Tak Lerai Diasak Zaman: Dikir Barat Seni Hiburan Rakyat” dilihat satu upaya yang besar oleh UUM Press dalam mengangkat dan menyemarakkan penerbitan buku sebagai rujukan dan rekod penting kesenian dan peradaban bangsa Malaysia.
"Kita ada banyak unsur kesenian yang menarik yang semakin jarang didengar pada masa ini seperti wayang kulit, rebana ubi, kertuk, makyung, peralatan muzik kita seperti rebab, serunai begitu juga dengan main peteri dan tarik selampit yang sewajarnya dipertahankan, sebagaimana UUM Press melestarikan kesenian dikir barat dalam bentuk dokumentasi seperti dalam penerbitan buku yang formal ini.
Penerbit-penerbit Universiti yang lain yang ada kemampuan serta lengkap dengan para penyelidik dan pengkaji yang berkredibiliti juga perlu menerbitkan buku seumpama ini selain memberi fokus kepada pelbagai bidang keilmuan baharu yang sangat diperlukan anak-anak bangsa demi kemajuan dan tuntutan kemajuan negara pada masa akan datang," ujarnya pada pelancaran buku "Tak Lerai Diasak Zaman: Dikir Barat Seni Hiburan Rakyat” terbitan UUM Press di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.
Sementara itu, menurut Naib Canselor, Prof Dato' Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak penerbitan buku "Tak Lerai Diasak Zaman: Dikir Barat Seni Hiburan Rakyat" ini merupakan warisan budaya Malaysia yang belum pernah lagi dibukukan dan diterbitkan oleh mana-mana penerbit di Malaysia apatah lagi penerbit-penerbit antarabangsa.
"Saya percaya bahawa sebahagian masyarakat masih belum mengenali secara terperinci susur galur sejarah dan warisan dikir barat ini. Kita hanya melihat dan mendengar nyanyian dikir barat ini di media sosial.
Justeru, dengan terbitnya buku Dikir Barat ini, masyarakat akan dapat memahami dan mengenali sejarah kewujudan persembahan dikir barat dan elemen-elemen utama yang ada di dalam seni persembahan ini," katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Abdul Malek Abdul Karim.
Buku "Tak Lerai Diasak Zaman: Dikir Barat Seni Hiburan Rakyat” merupakan hasil karya Prof Madya Dr Lim Swee Tin dan Mohd Sulhie Yusuf.
Dokumentasi seni dikir barat berbentuk ‘coffee table’ ini menghuraikan secara terperinci tentang sejarah seni dikir barat, perkembangannya dari satu era ke satu era, serta penerangan khusus tentang teknik persembahan, termasuk beberapa langkah inovasi ataupun pembaharuan agar kesenian ini kekal relevan dengan tuntutan khalayak semasa, sambil teguh mempertahankan keasliannya.
Pelancaran buku ini adalah bersempena Ekspo Buku Malaysia 2016 anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) yang sedang berlangsung di PWTC mulai 14 sehingga 18 Disember ini.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UUM, Tan Sri Siti Sa’diah Sheikh Bakir; Penasihat kepada YAB Perdana Menteri, Prof Dato' Seri Dr. Khairil Annas Jusoh; Pengerusi YPBN, Tuan Haji Hasan Hamzah; Pengarah UUM Press, Prof. Madya Dr. Ram Al Jaffri Saad; Ketua-Ketua Penerbit Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) dan penulis buku "Tak Lerai Diasak Zaman: Dikir Barat Seni Hiburan Rakyat," Prof Madya Dr Lim Swee Tin dan Mohd Sulhie Yusuf.