UUM ONLINE: Tokyo, Jepun, 23 September – Majlis pelancaran buku terbitan UUM Press telah berlangsung dengan meriah di Pesta Buku Antarabangsa Tokyo 2016 baru-baru ini.
Pelancaran dua judul buku Kewangan Islam yang ditulis oleh pensyarah-pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi dan Perbankan (SEFB) telah diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun melalui kerjasama antara UUM Press dengan pihak Japan-Malaysia Association (JMA) dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM).
Ini merupakan kali kedua buku terbitan UUM Press diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun di mana pada tahun lalu, buku Politik Bangsa Malaysia telah menjadi perintis kepada usaha mengantarabangsakan nama Malaysia amnya dan UUM khususnya ke peringkat antarabangsa.
Majlis pelancaran buku ini telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama, Dato’ Ahmad Izlan Idris, Duta Besar Malaysia ke Jepun.
Dalam ucapan perasmiannya, Dato’ Ahmad Izlan menyatakan bahawa UUM mempunyai kepakaran dalam bidang Kewangan Islam dan seharusnya menjadi penggerak utama kepada usaha mempromosikan bidang ini di peringkat antarabangsa melalui penerbitan buku.
“UUM mempunyai kepakaran dalam bidang ini kerana dilengkapi kemudahan dan infrastruktur terbaik serta mempunyai dua buah pusat pengajian khusus dalam bidang ini, iaitu Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan (SEFB) dan Perbankan serta Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS),” ujar beliau semasa merasmikan majlis pelancaran buku tersebut.
Permintaan terhadap Kewangan Islam semakin meningkat di Jepun di mana Industri Kewangan Islam yang telah berkembang dengan begitu pesat sejak mula dilaksanakan sekitar 70-an dengan merekodkan aset berjumlah $1 trilion dolar Amerika Syarikat (AS) pada 2010. Kini, terdapat lebih daripada 300 institusi kewangan Islam di 75 buah negara di seluruh dunia.
Menurut Asian Banker Research Group, 100 bank Islam terbesar di dunia telah mencatat kadar pertumbuhan aset tahunan sebanyak 26.7% dan industri kewangan Islam global mencatat pertumbuhan purata 15-20% setiap tahun.
“Dengan adanya penerbitan buku terjemahan Islamic Finance Fundamentals With Applications in Malaysia dan The Basics of Islamic Finance With Applications in Malaysia, negara berjaya mengeksport ilmu pengurusan Kewangan Islam kepada masyarakat Jepun yang bukan penganut agama Islam untuk difahami sebagai alternatif kepada sistem kewangan mereka,” jelas beliau lagi.
“Usaha penerbitan buku ini dalam bahasa Jepun adalah tepat pada masanya. Pada tahun lepas, buku Politik Bangsa Malaysia telah diterjemahkan dalam bahasa Jepun dan dijual di seluruh rangkaian kedai buku Kinokuniya. Saya difahamkan buku ini mendapat sambutan baik dalam kalangan masyarakat Jepun.”
“Dengan adanya dua lagi judul baru yang dilancarkan hari ini, adalah menjadi harapan agar ia juga akan mendapat sambutan baik daripada masyarakat Jepun,” ujar beliau lagi.
Majlis pelancaran ini yang diadakan di Tokyo Big Sight sempena Pesta Buku Antarabangsa Tokyo kali ke-23 turut dimeriahkan dengan kehadiran En. Masashi Takai, Pengerusi dan CEO Kinokuniya Company Limited, En. Keijiro Mori, Pengarah Eksekutif Bahagian Import dan Pengedaran Buku Kinokuniya Company Limited, En. Takakazu Ogawa, Ketua Pengarah Japan-Malaysia Association, Pengarah UUM Press, Prof. Madya Dr Ram Al Jaffri Saad, penulis buku (Dr Zaemah Zainuddin dan Puan Shariza Osman) dan dif-dif jemputan yang lain.