UUM ONLINE: Dua buku tulisan pensyarah dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) terbitan UUM Press telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Jepun. Dua buku tersebut ialah The Basic of Islamic Finance with Applications in Malaysia oleh Dr Sabariah Nordin dan Dr Zaemah Zainuddin serta buku Islamic Finance Fundamentals with Applications in Malaysia oleh Shahriza Osman, Prof Madya Dr Zahiruddin Ghazali dan Dr Syed Mohd Na'im Syed Salim.
Kedua-dua buku itu merupakan terbitan ketiga UUM Press bersama Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) dan Japan-Malaysia Association yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Jepun dan akan dilancarkan pada 23 September ini di Tokyo International Book Fair (TBIF) 2016.
Buku yang dihasilkan itu adalah untuk memperkenalkan dan mempromosikan kewangan Islam kepada pengguna yang mencari alternatif kepada kewangan konvensional.
Pada tahun lalu, buku 'Politics of Bangsa Malaysia' hasil karya Naib Canselor, Prof Dato' Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak terbitan UUM Press juga turut diterjemahkan ke dalam Bahasa Jepun dan dilancarkan pada Julai 2015 di TBIF.