All News

Buku Saya Bukan Menteri papar pengalaman hidup Zam

 

UUM Press Online – Pengalaman hidup Tan Sri Zainuddin Maidin atau lebih dikenali sebagai Zam telah diabadikan dalam buku autobiografi dan memoirnya berjudul Saya Bukan Menteri terbitan UUM Press.  Beliau yang pernah menjadi Menteri Penerangan di bawah Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi merasa seperti “bukan menteri” ketika menjawat jawatan tersebut hingga pernah dikritik oleh Tan Sri Rafidah Aziz sebagai culture shock.

Zam juga berkata, menjadi menteri dan ahli politik adalah suatu penyiksaan batin baginya dan menganggapnya sebagai hipokrasi kerana perlu melakukan perkara yang beliau tidak pernah lakukan sebelum itu atau yang bukan kemahirannya.   Contohnya beliau diminta untuk menziarah orang  meninggal dunia yang beliau tidak kenal, bergotong-royong membersihkan kubur dan mengacau bubur asyura dan dodol bersama orang ramai.  Menurut Zam lagi, beliau lebih selesa bersama pengawal peribadi sahaja apabila melawat kawasan parlimen tanpa diiringi oleh ketua-ketua bahagian dan cawangan.

Zam berkata demikian dalam sesi Bicara Karya dan Pelancaran Buku yang disempurnakan oleh Tan Sri Johan Jaafar pada 30 April 2016 di MAEPS Serdang, Selangor.  Pengarah Institut Pemikiran Tun Mahathir (IPDM) Dr. Hj. Ahmad Zaharuddin Sani bin Ahmad Sabri turut hadir sebagai moderator sesi Bicara Karya ini.  Program ini dianjurkan oleh UUM Press sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang sedang berlangsung sehingga 9 Mei 2016 ini.

Tan Sri Johan Jaafar yang juga Profesor Adjung di SMMTC UUM juga berkongsi pengalaman beliau ketika bersama Zam di Utusan Melayu.  Beliau berkata, dalam buku ini Zam banyak menyentuh soal membuat penyesuaian daripada seorang wartawan kepada ahli politik yang akhirnya berjaya walau pun proses ini terlalu sukar bagi Zam.

Zam menulis buku autobiografi dan memoir berkenaan bagi melengkapkan tugas beliau sebagai Karyawan Tamu di IPDM UUM pada tahun 2012-2014.  Buku yang berharga RM50 ini boleh dibeli dengan diskaun 20% di gerai MAPIM sepanjang PBAKL (no. A2047, Dewan A2, MAEPS Serdang). Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Mohd. Khoiri di talian 017-4982818