UUM ONLINE: Penganjuran Pesta Buku Utara 2016 dilihat masih relevan untuk menarik minat pembaca walaupun masyarakat kini disogokkan dengan perkembangan teknologi seperti buku elektronik (ebook) atau buku digital.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Abdul Malek Abdul Karim yang membacakan teks ucapan Naib Canselor berkata, Pesta Buku Utara itu memberi makna besar sempena Discover UUM pada tahun ini.
Katanya, penganjuran program tersebut yang bermula pada 20 sehingga 26 Mac ini mampu menarik ramai pengunjung dari kawasan utara khususnya untuk datang atau berkunjung ke universiti."Selain itu, walaupun teknologi seperti ebook atau buku digital sudah mula menjadi pilihan pembaca, namun ia dilihat masih tidak dapat menggantikan buku yang dicetak atas helaian kertas."Buku digital agak sukar kerana kita perlu memuat turun aplikasi berkaitan sebelum dapat melayari atau membaca sesebuah buku itu," ujarnya.
Menurut beliau lagi, dengan adanya Pesta Buku Utara yang dianjurkan setiap tahun di UUM, pelajar akan mengambil peluang untuk memanfaatkan baucar buku bernilai RM250 untuk membeli bahan ilmiah.Majlis perasmian telah disempurnakan oleh EXCO Kerajaan Negeri Kedah, Yang Berhormat Dato' Tajul Urus Mat Zain di Foyer Perpustakaan Sultanah Bahiyah.Dalam ucapannya berkata, penerbit universiti awam dan swasta berperanan untuk menyerap iklim ekonomi global bagi memastikan industri buku terus berkembang berikutan kesan kehausan ekonomi dunia."Mekanisme baharu mungkin perlu diterokai bagi mencari jalan atau ruang untuk memasarkan buku sama ada dalam atau luar negara, justeru menuntut kerjasama erat antara penerbit di universiti awam dengan pihak swasta yang bukan hanya mementingkan keuntungan semata-mata.
"Selain itu, penerapan budaya membaca juga perlu bermula dari peringkat kanak-kanak lagi kerana bangsa dan negara yang kuat adalah mereka yang mempunyai ilmu pengetahun tinggi," katanya.
Tambah beliau, dengan usaha yang dilaksanakan UUM menerusi penganjuran Pesta Buku Utara dapat membantu membudayakan minat membaca dalam kalangan masyarakat.
Pada majlis tersebut, Yang Berhormat Dato' Tajul Urus turut melancarkan buku terdiri tujuh buku Karya Asli, Monograf (4), Karya Suntingan (3) dan Karya Alumni UUM (2), selain menyampaikan Anugerah Pengguna Perpustakaan 2015, seterusnya melawat gerai buku.
Sebanyak 76 gerai yang mana 46 adalah gerai buku dan 30 gerai IT dibuka sepanjang Pesta Buku Utara Discover UUM yang bertemakan 'Read, Learn, Discover'.Di samping itu, pelbagai aktiviti turut dijalankan, antaranya Pertandingan Drama Komsas, Motivasi Bersama Ustaz Manis, pertandingan mewarna, Bengkel Penulis Kreatif dan sesi bertemu penulis novel Lambaian Goodwill Bridge.Hadir sama pada majlis perasmian tersebut Ahli-ahli JPU, Pengarah UUMPress dan pegawai-pegawai UUM.