Buku Najibnomics: Transforming Malaysia to a High-Income Nation tulisan Dr. Irwan Shah Zainal Abidin dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan UUM telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 4 Januari 2016. Dr. Irwan Shah dan Pengarah UUM Press Dr. Ram Al Jaffri yang mewakili Naib Canselor UUM, hadir dalam majlis pelancaran tersebut. Sementara itu, pasukan kerja UUM Press turut membuka gerai jualan bagi mempromosikan buku tersebut kepada tetamu yang hadir.
Pelancaran buku ini dibuat dalam Majlis Apresiasi Tokoh Sarjana anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) bagi menghargai tokoh-tokoh sarjana yang telah memenangi pelbagai anugerah dalam Anugerah Buku Negara 2015 pada bulan November 2015 yang lalu. Majlis Apresiasi ini telah dihadiri oleh pelbagai pihak dari sektor awam dan swasta serta mereka yang terlibat dalam industri perbukuan di negara ini.
Buku Najibnomics memberi pemahaman tentang dasar-dasar ekonomi yang dipelopori oleh Perdana Menteri Malaysia yang keenam, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, semenjak beliau menjadi Perdana Menteri pada 3 April 2009. ‘Najibnomics’merujuk kepada pendekatan baharu pembangunan ekonomi Malaysia yang meliputi tiga ciri utama: pengetahuan, inovasi dan kebebasan. Ia merangkumi pelbagai strategi, program dan langkah bertujuan untuk mentransformasikan Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
Melalui ‘Najibnomics’, kerajaan Malaysia berusaha untuk mengekalkan momentum pertumbuhan yang mapan, meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memastikan negara keluar dari masalah ‘middle-income trap’ untuk menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Orang ramai yang ingin mendapatkan buku ini boleh menghubungi UUM Press ditalian 04-9284833/4834 atau membeli secara online (www.uumpress.com.my).