Buku karya asli berjudul Enhancing Your Personal Q terbitan UUM Press tahun 2014 telah dipilih untuk memenangi hadiah Buku Umum Terbaik. Buku Umum Terbaik ini adalah bagi kategori buku motivasi. Buku ini ditulis oleh Henarath H.N.D.P. Opatha dan Lim Kong Teong yang juga pensyarah di Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik, UUM. Buku berbentuk motivasi ini ditulis untuk memberi kefahaman yang sistematik dan rasional mengenai kualiti peribadi secara konsep dan aplikasi. Kandungannya memfokus kepada tiga dimensi kualiti peribadi iaitu karakter peribadi, pengurusan peribadi dan kunci kejayaan individu. Buku ini boleh menjadi rujukan yang berguna kepada sesiapa sahaja yang berhasrat untuk menjadi individu yang berjaya dan profesional dalam segala bidang.
Majlis penyampaian Anugerah Buku Negara ini telah diadakan pada 25 November 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur bersempena Ekspo Buku Malaysia 2015. Pengarah UUM Press Dr. Ram Al Jaffri Saad yang mewakili UUM Press dan pengarang telah hadir menerima hadiah tersebut berupa Trofi dan Sijil. Hadiah disampaikan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Mahdzir Khalid Menteri Pendidikan Malaysia.
Tahniah kepada pengarang buku dan warga kerja UUM Press. Pada tahun lepas, UUM Press telah memenangi Anugerah Buku Negara 2014 bagi kategori Buku Umum Terbaik (Kategori Pengurusan) melalui buku karya suntingan Sistem Pengurusan Tatatertib di Tempat Kerja oleh Samihah Khalil (Ed.).