UUM ONLINE: 24 Mac 2015 - Pesta Buku Utara Kali Ke-5 Di Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi medan pertemuan bukan sahaja untuk tokoh buku dan penerbit menjual karya mereka, malah medan bagi peminat buku untuk mendapatkan naskah terkini.
Pesta Buku Utara anjuran UUM Press yang berlangsung selama seminggu di Foyer Perpustakaan Sultanah Bahiyah menyaksikan seramai 15 penerbit anggota Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) Yang Mengungguli Genre Penerbitan Ilmiah Mengambil Bahagian Mempromosikan Terbitan Mereka.
Majlis Perasmian Pesta Buku Utara telah disempurnakan Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Dato' Paduka Abdul Rahman Ibrahim, sekali gus melancarkan 17 judul buku terbaru terbitan UUM Press.
Dato' Paduka dalam ucapan beliau berkata, sudah 57 tahun merdeka menyaksikan perubahan drastik dari aspek pembangunan pendidikan negara dan penerbitan buku khususnya.
Menurutnya, salah satu perkembangan yang dapat dilihat adalah dengan penghasilan pelbagai jenis buku mengikut genre dan penganjuran pesta buku yang menghimpunkan karya-karya penulis tersebut.
Bagaimanapun, katanya, pesta buku seperti itu perlu diperbanyakkan dan diperluaskan hingga kepada masyarkat luar supaya sama-sama mendapat manfaat.
"Pada masa sama, penganjuran pesta buku ini juga adalah untuk mereka yang gemar membaca dan untuk melahirkan masyarakat minda kelas pertama juga perlu melalui pembacaan.
"Justeru, saya berharap universiti ini dapat melahirkan mahasiswa yang suka membaca dan boleh menyumbang kepada negara dengan menggunakan peluang menimba ilmu yang ada ini melalui membaca," ujar beliau.
Dato' Paduka juga turut melahirkan hasrat untuk melihat mahasiswa UUM pada masa hadapan akan lebih maju ke hadapan dalam bidang pengetahuan khususnya.
Sementara itu, Pengarah UUM Press, Dr. Ram Al Jaffri Saad berkata, penganjuran pesta buku tersebut adalah untuk menyebarkan ilmu dengan banyak penerbitan buku pelbagai genre.katanya, kini penulis buku bukan terdiri daripada golongan profesional sahaja, tetapi dalam kalangan suri rumah dan juga petani.
Menurutnya, ia selaras dengan perkembangan penerbitan buku yang mana dulu hanya boleh didapati menerusi cetakan, tetapi kini bahan bacaan tersebut boleh diperoleh secara dalam talian atau elektronik.
"Saya berharap pesta buku ini dapat memanfaatkan orang ramai yang ingin mendapatkan karya-karya terkini bukan sahaja dari penulis tempatan, malah antarabangsa," katanya.
a.
Pada majlis itu juga, turut diadakan penyampaian sijil penghargaan kepada penulis buku, anugerah penghargaan pengguna perpustakaan 2014 dan penyerahan bunting promosi pesta buku antarabangsa kuala lumpur 2015.
Bertemakan 'Membaca Mencetus Idea Kreatif dan Inovatif', orang ramai boleh mendapatkan pelbagai jenis buku, antaranya buku ilmiah, buku agama, buku umum dan karya kreatif serta berpeluang menikmati diskaun istimewa sepanjang pesta ini berlangsung.
Selain itu, pelbagai aktiviti turut dijalankan seperti bengkel penulisan kreatif bersama Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin, Sayembara Puisi dan Lagu, Kuiz Online Perpustakaan dan wacana buku bertajuk ‘Penghayatan Solat dan Adab Sebelum Suluk Tarekat Naqshabandiyah’ bersama Dr. Rosnaaini Hamid.