All News

UUM Press perlu jana kewangan lebih tinggi untuk bantu universiti

 

UUM ONLINE: Langkawi, 9 Februari 2015 - "UUM Press perlu menjana lebih banyak kewangan bagi membantu universiti meningkatkan pendapatan," ujar Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dato' Wira Dr. Mohamed Mustafa Ishak pada Bengkel Retreat Halatuju dan Perancangan UUM Press 2015-2017 di Hotel Holiday Villa, baru-baru ini.

Menurutnya, matlamat ini boleh dicapai apabila UUM Press menjadi Strategic Business Unit (SBU) dengan menumpukan usaha ke arah mencapai perolehan kewangan yang lebih tinggi melalui aktiviti-aktiviti penerbitan, pemasaran dan percetakan.

"Saya mahu UUM Press menilai semula hasil penerbitan yang dilakukan dan membuat penambahan kategori penerbitan sedia ada memandangkan penerbitan ilmiah dilihat tidak mampu menjana hasil kewangan yang tinggi.

“Kini, sudah tiba masanya untuk UUM Press untuk membuat perubahan dengan  menghasilkan bahan terbitan yang popular mengikut trend semasa seperti novel dan buku agama kerana kedua-dua buku ini menjadi pilihan masyarakat sekarang,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya terdapat bahan cetakan yang didapati bertentangan dengan prinsip Majlis Penerbit Ilmiah Malaysia (MAPIM), UUM Press boleh melihat cara lain menerbitkan kategori penerbitan ini dengan mengadakan usahasama dengan penerbit-penerbit komersial.

Katanya, penerbitan itu sekaligus dapat menampung kos penerbitan buku ilmiah yang sememangnya kurang menjana pendapatan yang banyak, bagaimanapun, penerbitan ilmiah tetap menjadi keutamaan memandangkan universiti yang mempunyai ramai ilmuwan dan ahli akademik perlu mendokumentasikan hasil kerja mereka bagi tujuan rujukan, seterusnya disebarkan demi kemaslahatan dan pengembangan ilmu itu sendiri.

Seramai 46 staf UUM Press telah menyertai bengkel tersebut yang diadakan selama sehari pada 6 hingga 8 Februari lalu.

Dalam program ini juga, Naib Canselor melahirkan hasrat menswastakan UUM Press menjelang 2021 bagi meminimakan kos penerbitan, di samping menjana keuntungan yang besar dan seterusnya dapat menyumbang kepada Universiti.

Beliau turut menggariskan beberapa cabaran kepada UUM Press bagi membantu universiti mencapai Pelan Strategik yang telah ditetapkan. Antaranya ialah membantu universiti menaikkan kedudukan atau 'ranking' dalam kalangan universiti-universiti di rantau ini khasnya dan dunia amnya.

Sementara itu, Pengarah UUM Press, Dr. Ram Al Jaffri Saad berkata, beliau berharap semua staf dapat melakukan transformasi dari segi budaya kerja, selain ‘visibility’ jabatan ditingkatkan melalui penerbitan jurnal dan juga buku.

Bagi mencapai hasrat ini, satu sistem pengurusan penerbitan akan dibangunkan bagi menguruskan proses penerbitan jurnal dan juga buku, sekaligus membantu mencepatkan proses kerja.