All News

UUM Press promosikan perkhidmatan melalui Hari Bersama Pelanggan

 

21 Disember 2014 / 28 Safar 1436H

Lebih daripada seratus orang pengunjung hadir memberikan sokongan pada “hari bersama pelanggan dan promosi buku dan jurnal terbitan 2014” yang diadakan pada 18 Disember lalu. Program yang julung kali diadakan ini berjaya menarik minat pelanggan yang terdiri daripada staf dan pelajar di universiti ini. Selain daripada melihat buku-buku dan jurnal terbitan UUM Press, mereka turut mendapatkan informasi penerbitan daripada khidmat klinik perundingan yang dikendalikan oleh Pegawai Penerbitan di Unit Editorial.

Selain itu juga, para pelanggan yang hadir turut mendapat penerangan daripada unit lain dalam jabatan seperti Unit Grafik, Unit Pengeluaran dan juga Unit Pemasaran sekali gus memberi gambaran yang lebih jelas tentang operasi UUM Press.

Rata-rata pengunjung yang ditemui berpuas hati atas layanan dan penerangan yang diberikan oleh staf UUM Press. Antara maklumat yang disalurkan semasa program sehari ini ialah maklumat perkhidmatan penerbitan buku dan jurnal. Pameran serta jualan buku terbitan 2014 turut diadakan untuk keselesaan pelanggan kerana tidak perlu bersusah-payah pada hari itu ke kedai buku UUM Press yang terletak di Varsity Mall. Pengunjung juga dapat meninjau kawasan persekitaran UUM Press yang berada di paras tanah dan paras satu di Pusat Konvensyen.