1 April 2014
UUM ONLINE : Selepas 15 tahun, akhirnya buku hasil nukilan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dato' Wira Dr Mohamed Mustafa Ishak bertajuk 'The Politics of Bangsa Malaysia: Nation-Building in a Multiethnic Society' telah diterbitkan.
Pelancaran karya Naib Canselor itu telah diadakan di Hotel Istana yang turut dihadiri Perdana Menteri Ke-4, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Naib Canselor berkata, buku itu adalah bahagian utama penyelidikan PhD beliau ketika menuntut di University of Leeds setelah Perdana Menteri Ke-4, Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan Wawasan 2020.
Ujar beliau, konsep Bangsa Malaysia menjadi intipati utama untuk mewujudkan sebuah negara Malaysia yang bersatu padu dan harmoni.
"Buku ini cuba menjawab persoalan-persoalan asas seperti maksud Bangsa Malaysia dan adakah konsep ini membawa konotasi bahawa Bangsa Malaysia merupakan asas baru dalam membina nasionalisme Malaysia.
"Selain itu, kandungan buku ini juga memberi penekanan mengenai persoalan etnik, nasionalisme dan 'nation-building' kerana saya dapati persoalan-persoalan ini telah membentuk sejarah politik abad ke-20," kata beliau.
Dalam ucapan beliau juga, Naib Canselor berharap buku itu dapat memberi sumbangan dari segi pengetahuan ilmu dalam bidang politik, selain membantu pemegang taruh dalam menghayati hal-hal dasar, susur galur sejarah dann melihat jauh ke hadapan dalam pembinaan 'nation-of-intent' atau negara idaman. Malah, beliau turut meletakkan harapan tinggi agar anak muda Malaysia dapat memahami dan memanfaatkan maklumat yang cuba disampaikan supaya 'Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung'.
Buku 'The Politics of Bangsa Malaysia: Nation-Building in a Multiethnic Society' ini berkisar politik negara yang sentiasa menjadi isu utama di Malaysia iaitu mengenai senario politik negara dalam menerokai proses pembinaan negara dan bangsa pasca 1970-an terutamanya dalam konteks wawasan membina Bangsa Malaysia atau 'Bangsa Malaysia Bersatu' seperti termaktub dalam projek Wawasan 2020 yang diperkenalkan Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1991.
Buku ini menyediakan perspektif alternatif dalam analisis hubungan etnik negara dan bangsa di Malaysia, dengan demikian meluaskan kefahaman politik dan masyarakat Malaysia.