All News

Pesta Buku Utara 2014 manfaat BB1M, terap budaya membaca

4 Mac 2014

UUM ONLINE : Budaya membaca perlu diterapkan dalam diri setiap individu terutamanya di kalangan generasi muda ke arah melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Kedah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, Dato’ Haji Tajul Urus Mat Zain berkata penganjuran pesta buku yang diadakan setiap tahun ini dapat menggalak budaya membaca.

“Penganjuran pesta buku kali ini sangat tepat dengan masanya kerana pelajar dapat memanfaatkan sebaiknya baucar buku yang baru diterima dengan membeli buku bacaan berkualiti yang disukai mereka di pesta ini.

Sekaligus ia juga dapat menanam minat membaca di kalangan warga Universiti Utara Malaysia (UUM) khususnya,” katanya ketika hadir mewakili Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir merasmikan Pesta Buku Utara 2014 di Dataran Perpustakaan Sultanah Bahiyah, UUM kelmarin

Katanya lagi UUM adalah gedung ilmu dan telah melakukan banyak aktiviti bagi menggalakkan pembacaan.

Justeru beliau mencadangkan UUM boleh menjadi penggerak kepada satu jawatankuasa yang akan ditubuhkan bagi merealisasikan tujuan tersebut.

Selain itu Penolong Naib Canselor Kolej Perniagaan (COB), Prof Dr Rushami Zien Yusoff berkata matlamat penganjuran untuk menjadikan tabiat membaca sebagai sebahagian gaya hidup masyarakat.

“Mungkin bagi sesetengah orang membaca adalah aktiviti yang membosankan sedangkan sebenarnya banyak manfaat yang boleh didapati daripada membaca.

Jadi saya berharap walau di mana kita berada, buku tetap dimartabatkan dan menjadi tabiat sepanjang masa kerana buku adalah wadah pengetahuan kepada manusia yang sentiasa dahagakan ilmu,” katanya ketika berucap di majlis perasmian tersebut.

Pesta buku kali keempat ini dianjurkan oleh UUM Press dengan kerjasama Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM), Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) dan Perpustakaan Sultanah Bahiyah.

Dalam perkembangan yang sama turut diadakan Penyampaian Anugerah Penghargaan kepada Pengguna Perpustakaan 2013 dan Penyampaian Hadiah Pemenang Kuiz: Web of Knowledge 2013.