All News

Pesta Buku Utara 2014

2 Mac 2014

Kampus Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok bakal menjadi tumpuan penggemar buku mulai 2 hingga 8 Mac ini apabila UUM Press menganjurkan Pesta Buku Utara buat kali yang keempat.  Pesta buku yang bertemakan ‘Buku Mutiara Ilmu’ akan berlangsung di Foyer Perpustakaan Sultanah Bahiyah mulai jam 9:00 pagi hingga 7:00 petang. 

Sesuai dengan sambutan 30 tahun UUM pada tahun 2014 ini, pesta buku ini dijangka mampu menggamit pengunjung memeriahkan suasana di samping berpeluang menikmati keindahan persekitaran kampus.   Pesta Buku Utara 2014 juga menjadi medan pertemuan penggiat buku, pengarang, pengkarya, penerbit dan peminat buku serta menjadi platform terbesar bagi penerbit untuk memasarkan buku terbitan mereka di wilayah Utara.  Antara jenis buku yang boleh didapati di gerai pesta ialah buku ilmiah terbitan tempatan, buku ilmiah terbitan antarabangsa, buku agama, buku umum, karya kreatif dan buku sekolah.  Pengunjung berpeluang menikmati diskaun istimewa apabila membeli buku yang dijual sepanjang pesta berlangsung.

Penganjuran pesta buku ini melibatkan kerjasama pelbagai pihak yang berkepentingan dalam industri perbukuan iaitu Perpustakaan Sultanah Bahiyah, Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM), Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA).  Sebanyak 27 penerbit anggota MAPIM  terdiri daripada penerbit IPTA dan badan penyelidikan yang mengungguli genre penerbitan ilmiah mengambil bahagian mempromosikan terbitan mereka. Masyarakat pelajar dan ahli akademik di sekitar Utara juga berpeluang membeli buku penerbit antarabangsa seperti Elsevier, World Scientific, John Wiley, Taylor & Francis, McGraw Hill, Oxford, Sage, Sweet & Maxwell, Cengage, Cambridge, Pearson dan Lexis-Nexis.   Tidak ketinggalan pembekal dan penerbit buku terkenal di Malaysia juga turut bersama-sama memeriahkan pesta buku kali ini, antaranya, Telaga Biru, PTS, Moy Publications, Penerbitan Seribu Dinar, Utusan Melayu, Pekan Ilmu, Koperasi Universiti Malaya, Kumpulan Media Karangkraf, Galeri Ilmu, AMQ, Fargoes Books, Art Square Creation (Gempak Starz), Karya Seni, Buku Fixi, dan I Love  Novel.

Selain jualan buku, bertepatan dengan tema ‘Buku Mutiara Ilmu’, pesta kali ini akan diisi dengan satu forum yang bakal mengupas tajuk “Malaysia Membaca: Komuniti Buku Online”.  Forum anjuran UUM Press dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN)  ini dijadualkan berlangsungpada hari Selasa 4 Mac 2014, pukul 10:00 pagi di Auditorium Perpustakaan Sultanah Bahiyah.  Barisan panel forum terdiri daripada ahli akademik dari UUM, UM dan UIAM.  Sesi bicara buku yang berbentuk kupasan buku oleh pengarang sendiri pula akan berlangsung pada hari Khamis 6 Mac 2014, pukul 10:00 pagi.  Dua judul buku terbitan UUM Press yang akan diulas dalam sesi tersebut ialah Pendidikan Keibubapaan Berdasarkan Surah Luqman dan Sistem Pengurusan Tatatertib di Tempat Kerja.  Orang ramai dijemput untuk memenuhi Auditorium Perpustakaan Sultanah Bahiyah dalam sesi percambahan ilmu ini.

Aktiviti sampingan lain yang turut diadakan setiap hari sepanjang pesta berlangsung ialah pertandingan bercerita, pertandingan mewarna kanak-kanak prasekolah dan sayembara puisi. Pelajar sekolah digalakkan menyertai program-program tersebut dan berpeluang merebut hadiah-hadiah menarik yang disediakan oleh Perpustakaan Sultanah Bahiyah.  

UUM Press sebagai penganjur tuan rumah juga mempelawa orang ramai dan ahli akademik yang berhasrat menerbitkan buku mereka supaya mendapatkan khidmat nasihat dan perundingan penerbitan sepanjang minggu pesta.  Kaunter ‘Jom Tulis Buku’ sentiasa menanti pengarang dan bakal pengarang di gerai penerbit UUM Press.

Pesta Buku Utara pada tahun ini diharap akan mencatat sejarahnya yang tersendiri dengan kejayaan menggamit ribuan pencinta buku untuk bersama-sama memeriahkan bumi Sintok sebagai gedung penyebaran ilmu.